‘Total lockdown’ keputusan tepat – PINTAR

KUALA LUMPUR 31 Mei – Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR) bersetuju dan mendokong teguh langkah penutupan penuh (total lockdown), kata Presidennya, Profesor Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor.

“Kami percaya ia adalah keputusan amat sukar bagi kerajaan kerana perlu memikirkan soal kehidupan rakyat yang perlu mencari rezeki untuk kelangsungan hidup masing-masing,” katanya.

Namun begitu, kata beliau, keputusan ini perlu diambil kerana melihat kepada ancaman kesihatan lebih besar, yang memudaratkan nyawa rakyat sekiranya tidak dibendung dan menyebabkan sistem kesihatan negara berada dalam keadaan tidak menentu.

Menurutnya, sebelum keadaan menjadi lebih parah dan tidak terkawal, tindakan ‘total lockdown’ adalah sesuatu yang mesti dilakukan.

“Kami memahami keadaan ini dan kita mesti bersama-sama dalam mencegah jangkitan Covid-19.

“Kita tidak mahu menjadi seperti apa yang pernah berlaku kepada negara-negara lain seperti Itali dan Sepanyol yang mengalami jangkitan dan kematian antara yang tertinggi di Eropah.

“Begitu juga kita tidak mahu menjadi seperti di India di mana jangkitan Covid-19 terlalu tinggi dan menyebabkan sistem kesihatan mereka tidak mampu menangani kes sehinggakan bekalan oksigen tidak mencukupi.

“Cukuplah merenung dan melihat kepada beberapa contoh itu, pasti akan membuka mata kita semua untuk lebih berhati-hati dalam berdepan dengan pandemik ini,” katanya.

Di samping itu, beliau berkata, amatlah tidak wajar apabila ada pihak melontarkan kata-kata kesat kepada Perdana Menteri atau kerajaan kerana itulah keputusan yang terbaik untuk beliau lakukan dalam keadaan sekarang.

“Kata-kata seperti ‘kerajaan gagal’ atau ‘kerajaan bodoh’ adalah keterlaluan, tidak betul dan tidak akan membantu kerana siapa sekalipun yang menjadi Perdana Menteri atau parti mana sekalipun menjadi kerajaan, jumlah kes harian Covid-19 tetap tidak akan menurun jika mentaliti rakyat masih terus-terusan tidak patuh kepada SOP,” katanya.

Menurutnya, rakyat sendiri perlulah mempunyai kesedaran tinggi untuk membuat pematuhan SOP kendiri kerana apa pun usaha yang dibuat tidak akan berkesan jika rakyat tidak patuh kepada SOP.

“Kami tidak mahu lagi mendengar selepas ini ada laporan keluar mengenai mereka yang senyap-senyap merentas daerah dan negeri, senyap-senyap membuat perhimpunan sosial, senyap-senyap beribadah beramai-ramai, senyap-senyap berziarah rumah ke rumah, senyap-senyap dine in, senyap-senyap lari dari tempat isolasi dan pelbagai aktiviti lagi,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, PINTAR menyambut baik usaha kerajaan menjalankan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dengan kadar vaksinasi lebih 100,000 hingga 150,000 sehari.

Jelasnya, jaminan kerajaan bahawa bekalan vaksin melebihi populasi rakyat juga perlu dimanfaatkan oleh rakyat negara ini.

“PINTAR menyambut baik jaminan Perdana Menteri bahawa urusan vaksinasi akan dipercepat dan diperluaskan segera supaya sasaran imuniti kelompok atau 80 peratus suntikan vaksin sebelum akhir tahun ini dapat dicapai,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Roslan berkata, tindakan pihak tertentu yang menghina Yang di-Pertuan Agong dalam media sosial merupakan perbuatan biadap dan wajar dikenakan tindakan tegas.

“Terdapat juga mereka yang suka mempersendakan ilmuan agama atau mufti yang menasihatkan supaya tidak melanggar SOP seperti nasihat tidak rentas negeri.

“Nasihat seperti ini dipermainkan oleh netizen yang tidak bertanggungjawab sehingga mengeluarkan kata-kata tidak sepatutnya.

“Apabila nasihat para ilmuan ini tidak diikuti, maka itulah yang terjadi sehingga peningkatan kes jangkitan Covid-19 sangat tinggi,” katanya.

Menyentuh mengenai bantuan sara hidup, PINTAR percaya bahawa pihak kerajaan akan prihatin kepada mereka yang memerlukan.

Beliau turut mengucapkan syabas kerana terdapat agensi seperti MAIWP yang telah mengumumkan pakej bantuan kepada golongan sasar dalam usaha membantu kerajaan meringankan bebanan rakyat.

“Sama-samalah kita mengetepikan sentimen kepartian dan memberikan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada setiap tindakan, arahan dan larangan yang dibuat oleh kerajaan.Total lockdown keputusan tepat – PINTAR

“Kita pernah berjaya melandaikan keluk jangkitan Covid-19 dan dengan kerjasama dan iltizam semua pihak kita akan sekali lagi mampu melakukannya,” katanya.

 

 

 

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *