Tindakan tegas hina Agong, persenda usaha tangani Covid-19 – PUM

KUALA LUMPUR 31 Mei – Persatuan Ulama Malaysia (PUM) melihat bahawa ‘total lockdown’ satu tindakan bijak yang tidak dapat dielakkan pada masa sekarang kerana kerajaan perlu memastikan tahap kesihatan rakyat mesti diutamakan.

Malah, langkah itu juga bertepatan dengan prinsip Maqasid Syariah dari aspek _Hifz al-Nafs iaitu menjaga jiwa manusia.

“Kita tahu bahawa Covid-19 ini adalah satu ancaman yang boleh membawa maut sekiranya tidak dikawal atau disekat.

“Kami sedar keputusan ini akan memberi kesan kepada rakyat terutama mereka yang bekerja sendiri atau bekerja dengan pihak swasta bergaji hari. Kami yakin bahawa pihak kerajaan mempunyai pelan bagi membantu mereka yang terkesan.

“Dalam hal ini, kami ingin mengucapkan tahniah kepada MAIWP yang begitu prihatin dengan memberikan peruntukan RM38 juta bagi membantu mereka yang memerlukan di Wilayah Persekutuan,” kata Yang Dipertua PUM, Dato’ Al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir.

Dalam masa sama, PUM menyelar tindakan segelintir rakyat menggunakan media sosial untuk mengutuk pemimpin negara, termasuk kes terbaharu mengeluarkan kata-kata tidak sopan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, PUM menyeru pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan sebegini bagi memberi pengajaran kepada semua pihak supaya tidak mempersendakan Yang di-Pertuan Agong.

“Selain tindakan tegas juga perlu diambil kepada mana-mana individu yang mempermainkan atau mempersendakan setiap keputusan diambil oleh pemimpin negara dalam menangani Covid-19.

Di samping itu, PUM turut meminta semua rakyat memberi perhatian serius terhadap Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK)  yang sedang giat dijalankan sekarang.

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *