Rakyat Malaysia Tunjang Utama Kejayaan Pelan Pemulihan Negara

Pengumuman Pelan Pemulihan Negara oleh YAB Tan Sri Perdana Menteri sudah tentu memberi pencerahan kepada rakyat mengenai bagaimana kita akan keluar daripada belenggu wabak COVID-19. Seluruh jentera BERSATU menyokong penuh Pelan tersebut dan berikrar akan turut sama membantu memastikan kita mencapai kejayaan.

BERSATU kini sedang giat menjalankan pelbagai aktiviti untuk membantu rakyat. Setiap hari BERSATU mengedarkan pelbagai bentuk bantuan kepada mereka yang terkesan oleh COVID-19 melalui Bahagian-Bahagian dan Cawangan-Cawangan BERSATU seluruh negara. Kempen pendaftaran vaksinasi turut digerakkan, di samping khidmat sukarelawan parti untuk membantu operasi Pusat Pemberian Vaksin di pelbagai lokasi. Semua ini adalah sumbangan langsung BERSATU untuk membantu rakyat dan semuanya akan diteruskan.

Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan menunjukkan bahawa kerajaan Perikatan Nasional amat prihatin dengan cabaran yang dihadapi oleh rakyat. Kesusahan yang dihadapi hanya boleh diselesaikan dengan cara mengembalikan negara kepada kehidupan harian biasa, dan itu memerlukan keseimbangan antara kesihatan dan kelangsungan ekonomi. Pelan ini menjadi peta bagaimana kita akan menjaga keseimbangan itu untuk segera keluar daripada krisis yang sedang dihadapi.

Saya tertarik apabila YAB Perdana Menteri menyatakan bahawa berdasarkan unjuran Kementerian Kesihatan, kes harian kita hari ini boleh mencecah 13,000 kes sekiranya PKP tidak dilaksanakan. Sedangkan, bilangan kes positif mula ke bawah 5,000. Ini adalah satu data yang penting. Ia bermaksud langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan telah menyelamatkan lebih 8,000 orang. Data ini menunjukkan strategi kerajaan sebenarnya berjaya.

Saya mencadangkan supaya setiap kali data mengenai bilangan kes positif diumumkan, maka ia mestilah diumumkan sebagai perbandingan dengan unjuran jika tiada PKP pada hari atau minggu tersebut. Mereka yang biasa dengan metodologi perbandingan statistik pasti akan maklum mengenai kepentingan perbandingan dengan “control group” dalam mengukur keberkesanan sesuatu intervensi. Unjuran itu boleh menjadi data “control”.

Pelan Pemulihan Negara juga menunjukkan betapa kerajaan Perikatan Nasional sentiasa istiqamah dalam mempertahankan konsep demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan. Perdana Menteri menyatakan dengan tegas bahawa beliau mahu parlimen dibuka sebaik sahaja keadaan membenarkan. Ini adalah sikap Tan Sri Muhyiddin sejak dari awal lagi. Seingat saya, sejak dari permulaan darurat lagi Tan Sri Muhyiddin sudah bercakap mengenai bagaimana hendak memastikan parlimen bersidang segera. Kini garis masa telahpun diumumkan.

Saya menyeru seluruh rakyat dan pemimpin masyarakat semua peringkat agar mendokong Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan ini. Daftar untuk vaksinasi. Patuhi SOP. Bantu sesama kita setakat yang termampu. Hanya dengan bergerak bersama, kita boleh menang bersama.

 

#MenangBersama

#KerajaanPrihatin

 

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *