Benarkan buka kedai gajet, supaya rakyat boleh berkomunikasi

PETALING JAYA – Kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) diminta mempertimbangkan cadangan membenarkan semula pembukaan kedai-kedai gajet kerana pada masa ini ia amat penting kepada rakyat.

Ketua ARMADA Kota Raja, Muhammad Affendi Mohd. Dilif berkata, penutupan kedai-kedai gajet sejak ‘total lockdown’ secara tidak langsung menyukarkan rakyat untuk terus berkomunikasi dengan lebih baik.

Beliau berkata, apa jua operasi komunikasi yang memerlukan penggunaan media sosial, wifi, internet, telefon, komputer dan sebagainya kini dilihat amat terhad.

“Perlu diingat pada masa ini, pembelajaran akademik, mesyuarat dan banyak lagi, juga dilakukan dari rumah kerana pelajar tidak dibenarkan ke sekolah manakala orang ramai pula bekerja di rumah.

“Dalam keadaan ini memperlihatkan peralatan gajet amat penting dan persoalannya ialah apa perlu rakyat lakukan jika segala kemudahan tersebut seperti wifi, telefon, komputer dan sebagainya rosak dan memerlukan penyelengaraan segera,” soal Muhammad Affendi.

Menurutnya, dalam hal ini, ketika PKP dengan pergerakan amat terhad, peralatan komunikasi melibatkan gajet amat penting dan perlu sentiasa berada dalam keadaan baik.

Jelasnya, ketika kesusahan melanda masyarakat, ada kalangan rakyat yang terdesak dan memerlukan pertolongan dan ketika itulah mereka mahu bersuara, meluahkan perasaan serta menghubungi pihak-pihak berkenaan.

“Jika rakyat tidak dapat meluahkan perasaan disebabkan tiada alat-alat komunikasi atau peralatan yang sedia ada sudah rosak, ia akan menyebabkan luahan mereka tidak sampai,” katanya.

Di samping itu, beliau berkata, MKN perlulah menilai bahawa jika bengkel atau kedai kereta atau kedai tayar dibenarkan beroperasi, mengapa tidak kebenaran yang sama diberikan kepada kedai-kedai gajet.

Menurutnya, tidak keterlaluan mengatakan bahawa kedai-kedai gajet lebih penting berbanding kedai-kedai membaiki kereta.

“Contoh paling mudah ialah untuk mengemaskini aplikasi MySejahtera, ia memerlukan kemudahan gajet sepanjang masa.

“Jika peralatan gajet tidak berada dalam keadaan baik atau pun sudah rosak, pasti untuk mengemaskini MySejahtera pun tidak mampu dan seseorang itu akan terlepas peluang mendapatkan vaksin,” katanya.

Selain itu, kata beliau, banyak lagi faktor lain yang boleh diperdebatkan mengenai perlunya pembukaan semula operasi kedai-kedai gajet ini termasuklah bagi kerajaan menyampaikan maklumat terkini mengenai dasar kerajaan selain info mengenai Covid-19.

“Membenarkan kedai-kedai gajet beroperasi semula dengan SOP yang ketat dapat menyelamatkan usahawan-usahawan bumiputera yang berkecimpung dalam industeri berkenaan,” katanya.

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *