KUALA LUMPUR 2 Julai – Sejak bila Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan bersungguh-sungguh cuba memposisikan diri sebagai menyokong titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong?
Ia seolah-olah menyerlahkan hipokrasi mereka kerana sejak bila pula mereka ini betul-betul mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu?
Ketua Penerangan Bersatu Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan ketika melontarkan persoalan itu berkata, sebelum ini Anwar dan PH dilihat tidak serius apabila ahli parti mereka menghina institusi Raja-Raja Melayu.
Beliau berkata, Anwar dan pemimpin PKR hanya menegur kosong sahaja ahli PKR seperti Iswardy Morni yang begitu biadap menghina Agong dan Permaisuri Agong beberapa bulan lalu
“Malahan ada juga mereka mempertahankan individu yang jelas biadap terhadap YDP Agong.
“Ini mencerminkan karekter sebenar Anwar dan anak-anak muridnya. Menyokong hanya ketika ia menguntungkan agenda diri sendiri, dan senyap membiarkan macai menghina bila nampak tiada faedah,” katanya.
Wan Saiful berkata, beliau syak Anwar dan anak-anak muridnya begitu galak menyokong kali ini kerana sudah tidak sabar untuk menyambung usaha menggugat kestabilan negara demi untuk merampas kerajaan.
Menurutnya, walaupun YDP Agong dan rakyat mahukan semua pihak berhenti berpolitik sementara negara berperang dengan pandemik Covid-19, Anwar dan muridnya masih rakus ingin merampas kuasa.
“Saya seperti mana juga barisan pemimpin yang lain merafak sembah mendukung titah YDP Agong. Perdana Menteri juga telah mengumumkan bahawa Sidang Parlimen akan diadakan dalam masa terdekat.
“Tetapi mana jaminan dan komitmen Ketua Pembangkang dan anak-anak muridnya bahawa Sidang Parlimen yang akan diadakan itu wajib digunakan untuk membincangkan isu-isu rakyat dan bukan untuk mengejar impian politik peribadi dengan cara menggugat kestabilan pentadbiran negara?” katanya.
Wan Saiful berkata, kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sentiasa terbuka menerima pandangan berbeza daripada pelbagai pihak untuk kebaikan bersama.
“Dalam hal ini, adakah Anwar sanggup beri jaminan bahawa segala rencana politik peribadi akan dihentikan?” katanya.