Zahidi gesa Presiden UMNO, Zahid Hamidi letak jawatan demi rakyat

KUALA LUMPUR 6 Julai – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin menggesa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar meletakkan jawatan demi kepentingan rakyat dan parti sendiri.

 

Menurut beliau, Ahmad Zahid sepatutnya mengikut amalan beberapa pemimpin UMNO terdahulu yang secara sukarela meletakkan jawatan apabila terpalit dengan kes-kes mahkamah.

 

Zahidi bekata, rakyat dan akar umbi parti kini tertanya-tanya dan mempersoalkan mengenai masa depan serta kewibawaan UMNO selagi Ahmad Zahid menjadi presiden parti.

 

Menurutnya, rakyat masih tetap sayang dan percayakan UMNO, dan UMNO akan lebih kuat jika Ahmad Zahid melepaskan jawatan presiden.

 

“Ikutlah amalan UMNO sebelum ini apabila ada pemimpin terpalit dengan kes mahkamah, mereka secara sukarela melepaskan jawatan yang dipegang demi kepentingan parti dan rakyat.

 

“Beberapa pemimpin sebelum ini melepaskan jawatan secara sukarela seperti Khir Toyo, Rahim Tamby Chik dan Mat Taib.

 

“Ahmad Zahid sepatutnya berbuat perkara yang sama jika sayangkan parti dan rakyat,” katanya.

 

Zahidi juga mempersoalkan tindakan Ahmah Zahid yang mahu menteri dan timbalan menteri dari UMNO meletakkan jawatan.

 

Menurutnya, kalangan menteri dan timbalan menteri dari UMNO, malah parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) turut mempersoalkan tindakan Ahmad Zahid itu.

 

“Apa tujuan meminta menteri dan timbalan menteri meletakkan jawatan dan siapa yang akan untung?

 

“Cuba fikirkan, yang untung hanya hmad Zahid manakala rakyat akan rugi kerana apabila menteri dan timbalan menteri letak jawatan, tiada lagi peruntukan disalurkan oleh kerajaan untuk membantu rakyat.

 

“Dalam keadaan sekarang, rakyat perlu dibantu bagi menyelesaikan pelbagai masalah yang mereka hadapi.

 

“Dengan peruntukan dari kerajaan, kami dapat salurkan pelbagai bantuan kepada rakyat. Jika letak jawatan rakyat yang rugi,” katanya.

 

Di samping itu beliau berkata, Ahmad Zahid juga tidak berbincang terlebih dahulu mahupun mengambil pandangan daripada menteri dan timbalan menteri termasuk dari parti komponen BN apabila mahu mereka meletakkan jawatan.

 

“Pandangan parti-parti komponen juga perlu diambil kira sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.,

 

 

 

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *