Jangan ragu-ragu pelantikan Ismail Sabri, Hishammuddin

PORT DICKSON 8 Julai – Ahli-ahli parti BERSATU jangan sekali-kali ragu dengan pelantikan Datuk Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Kanan Luar Negeri.

 

Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Port Dickson, Md. Isa Adam berkata, pelantikan dua pemimpin itu oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah tepat dan tiba masanya.

 

Beliau berkata, kedua-dua pemimpin itu juga memang dikenali dalam kalangan ahli BERSATU dan UMNO sendiri termasuk dari segi corak kepemimpinan mereka.

 

“Perdana Menteri telah memberikan kepercayaan dan membuat pilihan yang tepat memilih Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Hishammuddin sebagai Menteri Kanan.

 

“Kalangan ahli-ahli akar umbi di sini tidak sekali-kali meragui pemilihan dan pelantikan mereka berdua,” katanya.

 

Di samping itu kata Md. Isa, pihaknya mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri dan Hishammuddin di atas pelantikan tersebut.

 

“Kita di peringkat bahagian akan terus memberikan kerjasama penuh kepada Ismail Sabri dan Hishammuddin dalam usaha kerajaan dan negara berhadapan dengan pelbagai isu termasuk Covid-19 dan ekonomi.

 

“Pelantikan ini juga akan memantapkan kerajaan serta Kabinet,” katanya.

 

 

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *