Golongan muda perlu dididik kenali identiti, Perlembagaan, negara – Mohd Redzuan

KUALA LUMPUR, 22 Julai — Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof menegaskan golongan muda perlu dididik untuk mengenali identiti, Perlembagaan Negara dan partriotisme agar dapat mengatasi jurang perbezaan di antara kaum, bangsa dan agama.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah (LPA) Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya ia tidak terhad kepada agenda Bumiputera sahaja.

“Sekarang, kita telah gerakkan program kepada masyarakat apa itu SEPADU dan WKB2030 yang dilancarkan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Bukan sahaja kita sebut untuk Bumiputera sahaja, kita perlu mula untuk didik rakyat terutamanya golongan muda. Hari ini, orang muda tak faham perlembagaan, tak faham siapa identiti mereka sendiri, adakah wujud patriotisme dalam diri anak muda?

“Baru-baru ini, ada kenyataan saya mengenai perlu kita wujudkan Suruhanjaya Kedaulatan Negara, apa itu Watan Negara, apa itu patriotisme negara. Hari ini kita kibar bendera kalau ada acara, tapi kita tak hayati.

“Anak-anak muda kena uruskan sebaik mungkin untuk mengecilkan jurang ini supaya kita wujud negara kita yang berbilang kaum, bangsa dan agama,” katanya dalam sesi Dialog Eksklusif dengan Armada BERSATU pada Khamis.

Selain Yayasan Peneraju, Mohd Redzuan turut menerajui empat badan kerajaan lain di bawah portfolionya iaitu Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).

Mohd Redzuan berkata golongan muda juga merupakan barisan pelapis yang mampu membawa kembali kefahaman yang betul mengenai negara dan Perlembagaan.

“Kepimpinan perlu dilestarikan, kefahaman tentang Malaysia, Perlembagaan.

“Kebanyakan sosial media dibanjiri dengan pendapat yang tidak menghormati institusi itu.

“Ini penting untuk anak muda sebagai barisan pelapis untuk membawa kembali kefahaman itu supaya boleh membimbing dengan hala tuju tersebut,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd Redzuan berkata satu jelajah penerangan dijangka akan dijalankan di Semenanjung Malaysia selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nanti.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *