Henti keluar kenyataan mengelirukan – Mustapa

PASIR MAS, 8 Ogos — Semua pihak perlu berhenti mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung majoriti kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan sebaliknya menunggu sehingga parlimen kembali bersidang bulan depan bagi menyelesaikan apa jua isu mengenainya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata beliau meminta supaya semua pihak berhenti mengeluarkan kenyataan mengelirukan yang boleh mengganggu usaha kerajaan menangani krisis kesihatan melibatkan COVID-19 dan krisis ekonomi, sementara menunggu sidang parlimen itu.

“Parlimen bersidang bermula 6 Sept, bermula dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Sementara itu kita harap redakanlah, tak payah buat kenyataan sana sini.

“Kita nak pastikan supaya krisis kesihatan dan ekonomi dapat ditangani dengan baik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat Projek Pelaksanaan Segera Bagi Menangani Bencana Runtuhan Tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi, pada Ahad.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *