Kemudahan sektor sosial kepada individu lengkap vaksin di negeri Fasa Dua PPN – Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 8 Ogos — Kerajaan bersetuju memberikan kemudahan bagi sektor sosial kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan menetap di negeri yang berada dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan seterusnya, berkuat kuasa Selasa ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata antara kemudahan yang dibenarkan adalah rentas daerah, aktiviti ‘dine-in’ atau makan di premis, aktiviti sukan dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan serta aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama melibatkan inap desa (homestay) dan hotel.

Perkara itu diumumkan Muhyiddin dalam pengumuman khas kemudahan-kemudahan bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap yang disiarkan di stesen televisyen tempatan, hari ini.

Individu yang ingin melakukan perjalanan rentas daerah mesti menunjukkan kepada petugas keselamatan di sekatan jalan raya sijil digital vaksinasi COVID-19 yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

Bagi aktiviti dine-in, perdana menteri menasihatkan orang ramai agar memilih premis yang mempunyai pengudaraan yang baik dan terbuka selain melakukan aktiviti berkenaan hanya sekiranya perlu atau secara take-away (bungkus) serta tidak berada terlalu lama di premis berkenaan.

Perdana menteri menegaskan bahawa dibandingkan dengan aktiviti sosial lain, aktiviti makan di premis kedai makan (dine-in) sememangnya mempunyai risiko yang lebih tinggi kerana pelitup muka akan dibuka ketika makan dan juga ketika berbual dengan teman semeja dan ini mendedahkan individu kepada jangkitan COVID-19.

Beliau turut menyarankan pengusaha premis kedai makan supaya menyediakan lebih banyak ruangan tempat makan di bahagian luar premis bagi pengudaraan yang lebih baik selain pemilik premis perlu memastikan mereka yang memasuki premis untuk tujuan dine-in telah menerima vaksinasi lengkap.

“Bagi pasangan yang telah menerima vaksinasi lengkap dan ingin membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah untuk dine-in di premis kedai makan, pastikan anak-anak anda mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” katanya.

Bagi aktiviti sukan dan riadah, Muhyiddin berkata ia dibenarkan dengan mematuhi penjarakan fizikal dan dilakukan di kawasan terbuka termasuk separa terbuka bermula jam 6 pagi hingga 10 malam.

Aktiviti yang dibenarkan adalah seperti jogging, senaman, taichi, berbasikal, skateboarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis (single), badminton (single), golf, permotoran dan seumpamanya.

“Aktiviti dine-in di restoran atau kafe di premis club house adalah dibenarkan selaras dengan kebenaran dine-in manakala operasi bilik persalinan atau bilik mandi di premis club house adalah tidak dibenarkan.

“Ini bagi mengelakkan perkumpulan selepas bersukan dan mengurangkan risiko jangkitan,” katanya.

Sementara itu, bagi aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama, Muhyiddin berkata pengusaha inap desa (homestay) dan hotel perlu memastikan mereka yang ingin memasuki premis menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *