MP PH diminta kaji kebaikan cadangan PM, tolak kleptokrat mahu rampas kerajaan

KUALA LUMPUR, 14 Ogos — Semua wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) diminta mengkaji kebaikan daripada cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin dalam ucapan khas Bersama Memulihkan Negara, pada Jumaat.

Ketua Penerangan BERSATU Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata semua cadangan itu adalah bertepatan dengan tuntutan reformasi yang dikehendaki PH.

“Reformasi besar telah dihidangkan di depan mata.

“Ini peluang untuk mendapat dua perkara sekaligus, iaitu memenuhi tuntutan reformasi dan memenuhi kehendak rakyat yang mahukan ahli politik kembali fokus kepada rakyat. Tidak ada sebab untuk tolak dengan terburu-buru,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Wan Saiful mengulas kenyataan Majlis Presiden PH menolak tawaran yang diberikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membolehkan usul undi percaya diluluskan di Parlimen.

Dalam satu kenyataan yang ditandatangi ketiga-tiga ketua parti komponen PH itu juga mendakwa tawaran Muhyiddin sebagai tidak ikhlas dan sepatutnya dibuat lebih awal.

Mengulas lanjut, Wan Saiful mempersoalkan kewajaran PH membantu kleptokrat dan penyokong mereka yang sedang giat merancang pelan untuk merampas kerajaan.

Justeru, katanya lagi, beliau yakin ramai wakil rakyat PH yang rasional mengutamakan untuk mengembalikan kestabilan dan mengenepikan perbezaan untuk 11 bulan sahaja.

“Malahan, ada penyokong kleptokrat yang sanggup meletak jawatan untuk merosakkan kestabilan. Adakah kita mahu membantu mereka mencapai matlamat peribadi?

“Saya yakin kawan kawan dalam PH ramai yang rasional dan setuju bahawa dalam keadaan sekarang, keutamaan kita ialah mengembalikan kestabilan. Bukan lama pun. Sebelas bulan sahaja sehingga Julai tahun depan. Dalam musim Covid ini, jika kita boleh ketepikan perbezaan untuk 11 bulan sahaja, saya yakin rakyat akan menghargainya.

“Muhyiddin sudah buka jalan kestabilan. Apa kata kita terima dahulu, dan 11 bulan lagi apabila COVID-19 sudah reda, kita serahkan mandat kembali kepada rakyat,” katanya.

Ketika menyampaikan Utusan Khas pada Jumaat, Muhyiddin memberi tujuh tawaran kepada pemimpin parti pembangkang untuk mendapatkan persetujuan bi-partisan.

Antara tujuh tawaran tersebut ialah membentangkan RUU Anti Lompat Parti di Dewan Rakyat, peruntukan sama rata kepada semua ahli parlimen tanpa mengira parti dan pelaksanaan Undi 18 tanpa perlu menunggu pendaftaran automatik.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *