BERSATU sentiasa konsisten isu berkait integriti, urusan mahkamah – Wan Saiful

KUALA LUMPUR, 18 Sept — Pandangan BERSATU dalam isu berkait integriti dan urusan mahkamah sentiasa konsisten dan sedia diketahui umum, kata Ketua Penerangan BERSATU Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Wan Saiful berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agong Umno Datuk Ahmad Maslan di Malaysiakini yang enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan BERSATU berkecuali daripada menyokongnya sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Menurut Wan Saiful, BERSATU boleh bersetuju dengan cadangan calon Timbalan Speaker daripada parti lain tetapi harus berunding dahulu nama calon itu.

“Kita boleh bersetuju dengan cadangan calon dari parti lain, tetapi runding dahulu nama calon itu kerana parti BERSATU ada prinsip tegas yang tidak akan kita kompromi.

“Sewajarnya perkara-perkara besar dalam kerajaan yang berbentuk gabungan pelbagai parti seperti yang kita ada hari ini haruslah mengambil kira pandangan semua ahli keluarga dalam kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pontian itu enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan BERSATU berkecuali daripada menyokongnya sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Sebaliknya, beliau berkata khabar angin tersebut harus ditanyakan kepada pemimpin BERSATU.

“Sila tanya PPBM (BERSATU), terima kasih,” katanya ringkas.

Sebelum ini, media melaporkan pihak kerajaan mencalonkan Ahmad sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat yang baru bagi menggantikan Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said, manakala Pakatan Harapan (PH) mencalonkan Nga Kor Ming sebagai calon timbalan speaker bagi pihak pembangkang.

Bagaimanapun, difahamkan pencalonan Ahmad sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat tidak disokong BERSATU.

Ini dikatakan menyebabkan undian untuk jawatan itu ditangguhkan.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *