DUN Terengganu bersidang 3 hari, masa sangat pendek bincang isu rakyat

KUALA LUMPUR, 20 Sept — Persidangan DUN Terengganu yang bermula selama tiga hari pada minggu lalu dilihat sebagai tempoh masa yang sangat pendek untuk membincangkan isu rakyat di negeri itu.

Pengerusi NGO Perintis Bersatu Malaysia Negeri Terengganu Syaiful Irfan Anang berkata sidang yang berlangsung selama empat jam sehari itu adalah tidak munasabah untuk wakil rakyat mengambil tempat untuk berbahas isu-isu yang melibatkan rakyat Terengganu.

“Saya mohon supaya Negeri Terengganu memanfaatkan sepenuhnya kedudukan sebagai negeri tunggal yang berada pada Fasa 3 pelan pemulihan negara untuk menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dengan mengadakan kembali sidang DUN yang lebih panjang dan bermanfaat.

“Dengan pelbagai masalah yang dihadapi rakyat Terengganu sepanjang tempoh pandemik ini sudah pasti ramai wakil-wakil rakyat ingin menyuara serta memberi pandangan berdasarkan keadaan di tempat masing-masing . Rakyat juga ingin melihat wakil rakyat di tempat mereka menjalankan tanggungjawab dengan membawa permasalahan dan suara mereka di sidang DUN Terengganu.

“Isu-isu melibatkan ekonomi Terengganu perlu diperbahaskan secara lebih holistik dengan penumpuan kepada memulihkan semula ekonomi rakyat sama ada dari sudut mikro atau makro,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Syaiful berkata geran-geran khas untuk membantu rakyat perlu disegerakan dalam memperlihatkan kesungguhan kerajaan negeri untuk membantu rakyat meningkatkan dan memulih semula ekonomi dan sara hidup.

“Kerajaan negeri juga perlu menubuhkan jawatankuasa khas dengan penglibatan pakar-pakar ekonomi dalam membantu mewujudkan peluang pekerjaan secara drastik dalam menangani masalah pengangguran yang semakin meningkat.

“Pelbagai perkara perlu dibincangkan dan sudah tentu ia memerlukan satu sidang dun yang berkesan dan hasil perbahasan tersebut sudah pastinya akan menjadi harapan yang terbaik untuk dilaksanakan demi kepentingan seluruh rakyat negeri Terengganu,” katanya yang juga Bendahari Biro Antarabangsa Armada Nasional.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *