Jom Comeback!

DALAM ucapannya sempena Ulang Tahun ke-5 BERSATU tempoh hari, Tan Sri Presiden yang kita sayangi antara lain mengatakan bahawa BERSATU dan PN akan membuat comeback pada pilihan raya umum ke-15.

Saya tidak mahu bercakap tentang PN sebab ia membabitkan pihak lain. Tetapi bagi setiap ahli BERSATU yang setia kepada parti dan berpegang teguh kepada perjuangan tentu sahaja mengalu-alukan kenyataan itu. Ia bagaikan kata keramat yang membangkitkan semangat untuk kita bersiap siaga. Malah saya lebih suka menganggapnya sebagai genderang perang yang mengajak kita bersedia dengan panji-panji sebelum bergerak ke medan tempur.

Tetapi semangat bukanlah segala-galanya dalam sesebuah perjuangan. Banyak tuntutan-tuntutan lain yang perlu kita penuhi, lebih-lebih lagi kerana peperangan pada era ini tidak sama dengan zaman manusia bersenjatakan kayu dan batu dahulu.

Saya mengenali BERSATU sejak ia belum ditubuhkan. Saya antara orang yang bergolok bergadai dan berhutang di sana sini demi untuk melihat BERSATU bertapak menjadi sebuah parti yang benar-benar memenuhi aspirasi rakyat. Dan kali ini pun saya akan menulis berdasarkan pengalaman itu. Tentang apa yang saya nampak dan saya rasa.

Soalan pertama yang kita harus tanya ialah sejauh mana hasrat untuk membuat ‘comeback’ yang Tan Sri Presiden nyatakan itu sampai ke hati nurani ahli-ahli BERSATU? Ini penting kerana yang membuat kenyataan itu adalah orang nombor satu dalam parti kita. Ia secara langsung menjadi kayu pengukur terhadap semangat juang kita.

Apa yang saya perhatikan, kenyataan itu memang berjaya membangkitkan semangat sebahagian ahli. Mereka menyambutnya, mereka memperkatakannya dan mereka menghebahkannya. Dalam perang politik hebahan seperti itu penting sebab ia adalah pemacu kepada perang psokologi yang berikutnya.

Tetapi soalan lain yang tidak kurang pentingnya ialah, selepas itu apa? Berapa lama semangat itu akan meruap? Bagaimana ia hendak dikekalkan? Bagaimana kita hendak menterjemahnya supaya menjadi gerak kerja yang tersusun?

Kita tentulah tidak mahu semangat itu tinggal menjadi semangat semata-mata. Jadi apa yang patut kita buat? Siapa yang harus memainkan peranan?

Saya berpendapat semua pemimpin dan ahli BERSATU berkewajipan untuk menjawab soalan-soalan itu secara jujur dan kemudian berusaha mengambil langkah-langkah perlu agar hasrat Tan Sri Presiden berjaya direalisasikan.

Saya tidak tahu di mana silapnya, tetapi saya berpandangan struktur organisasi kita agak longgar jika dibandingkan dengan waktu BERSATU baru ditubuhkan dahulu. Waktu di mana kita boleh bekerja siang malam, di timur di barat, di utara dan selatan tanpa berasa penat. Kehendak dan hasrat kepimpinan pantas disambut di peringkat akar umbi. Begitu juga sebaliknya. Yang di atas sampai ke bawah, dan yang di bawah sampai ke atas.

Sekarang keadaan agak berbeza. Banyak perkara terputus di tengah jalan. Atas tak sampai, bawah tak cecah. Akibatnya bukan sahaja ahli biasa, pemimpin di peringkat pertengahan pun ada yang terpinga-pinga dalam mendepani isu-isu tertentu.

Armada dan Srikandi juga pada pandangan saya masih perlu diperkemas. Tahap kesiapsiagaan mereka harus dibaiki. Terlalu ramai yang saya jumpa bukan sahaja tidak tahu bagaimana menangkis atau memanipulasi isu, malah mereka langsung tidak faham isu yang berkenaan. Banyak juga rungutan yang saya dengar tentang kurangnya mesyuarat dan perbincangan formal sedangkan ia suatu tuntutan dalam berpersatuan.

Kita tidak boleh selama-lamanya bertindak secara ad-hoc. Dengan pengalaman dua kali menerajui kerajaan, BERSATU harus menjadi lebih matang dan lebih hebat daripada parti-parti lain.

Ada pendapat mengatakan BERSATU tidak mempunyai ruang waktu yang cukup untuk menyusun atur pasukannya kerana kita terlibat secara langsung dalam dua peralihan kuasa. Ia memakan masa dan menyedut energi kita. Tetapi dalam situasi sekarang bukan alasan yang kita perlukan. Matlamat kita adalah untuk membuat ‘comeback’. Tanggungjawab kita pula adalah memastikan laluannya betul dan lancar.

Atas faktor itulah saya mengharapkan kepada sahabat-sahabat yang di atas, yang dalam barisan kepimpinan tertinggi parti, bertindak segera bagi memastikan semangat yang ditiup oleh Tan Sri Presiden tidak padam begitu sahaja. Langkah-langkah proaktif perlu diambil tanpa bertangguh.

Kita perlu membiasakan diri untuk memperbanyakkan kursus, bengkel, seminar dan seumpamanya di semua peringkat. Walaupun kita tidak boleh berkumpul atas sebab-sebab kesihatan, banyak cara lain boleh kita manfaatkan. Yang penting tingkatkan kefahaman ahli, dedahkan mereka pada ilmu-ilmu baharu tentang organisasi, tentang strategi, tentang teknik, tentang taktik dan sebagainya. Kita tidak boleh membiarkan ahli pandai-pandai sendiri kerana akhirnya mereka tak untung, parti juga tumpang rugi.

Lt Kolonel Bersekutu (PA) Abd Razak Khamis merupakan Ketua Bahagian BERSATU Pendang

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *