Suntikan vaksin remaja walk-in berjadual bermula Khamis ini

KUALA LUMPUR, 21 Sept — Pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun akan dilaksanakan di 156 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam dan Integrasi di seluruh negara secara kaedah jumpa terus (walk-in) berjadual bermula Khamis ini.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, agihan vaksin itu mengikut lokasi sekolah berhampiran dengan PPV yang dikenal pasti.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A) berkata, pemberian vaksin akan dilaksanakan mengikut giliran serta tarikh dan masa yang ditetapkan.

“Jadual pemberian vaksin pula akan dikeluarkan pihak sekolah masing-masing kepada remaja dan ibu bapa.

“Bagi remaja yang telah mendapat tarikh vaksinasi di PPV Sekolah, kumpulan pelajar ini perlu mengekalkan janji temu sedia ada di PPV sekolah yang ditetapkan dan tidak dibenarkan walk-in ke PPV Awam atau Integrasi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Noor Azmi berkata, bagi remaja yang tidak bersekolah pula, mereka dibenarkan untuk walk-in di mana-mana 156 PPV yang berdekatan dengan kediaman masing-masing.

Kata beliau, sekiranya kuota vaksin di PPV tersebut habis untuk hari berkenaan, mereka akan diberi janji temu di PPV sama keesokan hari atau di klinik kesihatan swasta berdekatan.

Menurutnya, pendekatan walk-in berjadual ini dibuat bagi memudahkan dan mempercepatkan lagi proses pemberian vaksin kepada remaja di seluruh negara.

“Remaja yang menuntut di IPTA/IPTS yang berumur di bawah 18 tahun dibenarkan walk-in ke semua PPV yang masih beroperasi pada ketika ini dengan menunjukkan pengenalan diri sebagai pelajar IPTA/IPTS,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ibu bapa atau penjaga perlu hadir bersama untuk menandatangani borang kebenaran vaksinasi anak masing-masing.

Noor Azmi berkata, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja dimulakan secara rasmi semalam dan menyasarkan 3.2 juta golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

Sehingga semalam, beliau memberitahu, sebanyak 5,964 buah sekolah telah berdaftar dengan portal Vaksin-Anak-Ku.

Katanya, seramai 308,186 remaja telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 dengan Sabah merekodkan bilangan tertinggi iaitu 118,141 orang diikuti Sarawak (88,473); Kedah (19,453); Kelantan (17,413); Johor (16,019) dan Labuan seramai 2,523.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *