KDN simpati isu kerakyatan anak wanita warganegara

KUALA LUMPUR, 22 Sept — Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersimpati terhadap golongan ibu warganegara Malaysia yang anak mereka dilahirkan di luar negara hasil perkahwinan dengan rakyat asing namun tidak mendapat kerakyatan negara ini kerana tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan membolehkannya.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan membolehkan anak-anak ini diberikan taraf kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang.

“KDN bercadang untuk membawa perkara ini bagi mendapat polisi baharu kerajaan untuk meminda perlembagaan bagi memudahkan ibu-ibu melahirkan anak mereka di luar negara walaupun berkahwin dengan warganegara asing.

“Dalam masa yang sama perkara ini perlu mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja selaras dengan Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan,” katanya semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Hamzah menjelaskan beliau terikat dengan perundangan sedia ada berhubung kewarganegaraan yang diperuntukkan dalam Bahagian III Perlembagaan Persekutuan dan Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964.

Pada 9 Sept, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bayi dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing secara automatik berhak mendapat kerakyatan negara ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir memutuskan perkataan “bapa” dalam Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan perlu bermaksud dan termasuk ibu.

Bagaimanapun pada 13 Sept lepas, kerajaan memutuskan untuk mengemukakan rayuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Beberapa Ahli Parlimen termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson), Teo Nie Ching (PH-Kulai) dan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas) telah membangkitkan isu permohonan rayuan daripada Peguam Negara berhubung keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan isu kerakyatan itu semasa sesi perbahasan.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *