BERSATU Jerantut lega misi bantuan dapat ringan beban mangsa banjir

JERANTUT, 26 Dis – Skuad Prihatin BERSATU Jerantut ditubuhkan bagi mengadakan misi bantuan kepada mangsa banjir di tiga daerah di Pahang, sejak minggu lalu.

Antara lokasi terkesan banjir iaitu Jerantut, Mentakab dan Kuala Krau.

Naib Ketua Bahagian BERSATU Jerantut Mohd Ashraff Ismail berkata memasuki hari kelima, selain membantu mencuci kediaman mangsa banjir yang terjejas, mereka juga turut membersihkan masjid di kawasan sekitar.

“Dengan kekuatan seramai 10 ahli termasuk Armada dan Srikandi, Alhamdulillah kami berjaya membantu mereka yang terjejas.

“Saya lihat mangsa-mangsa banjir selesa menerima kehadiran kami dengan pintu yang terbuka. Ini kerana kami tidak membawa bendera yang gah seperti parti lain, tetapi kami hanya memakai baju BERSATU apabila menyantuni mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Ashraff berkata sekiranya berlaku kejadian banjir pada masa depan, pihaknya memerlukan peralatan keselamatan yang lengkap dan juga bot menyelamat sebagai persediaan untuk memberi bantuan segera.

“Antara cabaran yang kami hadapi adalah semua logistik dan keperluan kendiri ditanggung sendiri, untuk membantu mangsa-mangsa banjir yang terjejas.

“Kami berharap pada masa depan, segala peralatan keselamatan lengkap termasuk bot penyelamat bagi membantu mereka dengan segera sekiranya terjadi banjir begini,” katanya.

 

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *