KUALA LUMPUR, 29 Dis – Bencana banjir yang berlaku di Selangor baru-baru ini sudah tentu memberi kesan mendalam kepada kebanyakan mangsa yang terlibat, termasuklah dari aspek emosi dan psikologi.
Ketua Bahagian BERSATU Sekijang, Uzzair Ismail berkata terdapat mangsa banjir yang mengalami kemusnahan harta benda masih berada dalam keadaan terkejut, trauma selain mengalami gangguan emosi dan mental.
“Selain membantu kerja-kerja pembersihan rumah mangsa-mangsa banjir, kami cakna memulihkan emosi dan memberikan semangat untuk kehidupan yang mereka akan lalui pada masa depan.
“Syukur, mereka mampu kekal tenang dan fokus untuk meneruskan kehidupan, selain membaik pulih keadaan rumah, kenderaan dan sebagainya.
“Kami pemberi semangat kepada mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, Skuad Prihatin BERSATU Johor yang dipimpin Setiausaha BERSATU Negeri Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal telah menggerakkan seramai 170 sukarelawan bagi membantu misi bantuan banjir di kawasan-kawasan terjejas di Selangor, sejak minggu lalu.
Mengulas lanjut, Uzzair berkata dalam lawatan Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Hulu Langat semalam, mangsa-mangsa banjir mendapat bantuan dari segi bakul makanan dan juga kontena sementara sebagai tempat pelindungan.
“Dengan kekuatan sukarelawan yang turun, kami menawarkan khidmat mencuci dan membersih rumah-rumah yang terkesan akibat banjir.
“Alhamdulillah, kami lega misi bantu rakyat di Selangor berjalan lancar.
“Insyallah, kami akan pergi ke Pahang pada minggu depan, bantu rakyat di sana,” katanya.