KETENGAH bantu mangsa banjir di Pahang, Selangor

KUALA TERENGGANU, 29 Dis – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) memperuntukkan sebanyak RM300,000 untuk membantu meringankan bebanan mangsa banjir di Selangor dan Pahang.

Pengerusi KETENGAH, Senator Datuk Razali Idris, berkata 70 peratus atau RM270,000 diperuntukkan untuk membantu mangsa banjir Mentakab, Pahang manakala bakinya iaitu 30 peratus atau RM30,000 akan disalurkan ke Selangor.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak RM100,000 akan digunakan untuk menyediakan bakul makanan mengandungi pelbagai barangan keperluan utama dan akan diagihkan kepada 1,000 Ketua Isi Rumah (KIR).

“Seramai 40 anggota skuad banjir KETENGAH Ambik Cakne akan dihantar untuk melakukan kerja pembersihan kediaman di Mentakab, Pahang.

“Kita akan menggunakan sebanyak 15 pancutan air berkuasa tinggi menggunakan enjin diesel yang setiap satunya bernilai RM2,000 bagi melakukan kerja pembersihan lumpur di kediaman mangsa banjir di Mentakab, Pahang,” katanya kepada media selepas melakukan pelepasan skuad banjir di perkarangan ibu pejabat KETENGAH di Bandar Almuktafi Billah Shah (AMBS) pada Selasa.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Ketengah Holding Sdn Bhd (KHSB), Mohd Zaid Sulaiman dan Pegawai Pembangunan Masyarakat Sosial KETENGAH, Mohd Faiq Mohd Abdul Majid yang mewakili Pengurus Besar, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa.

Razali berkata, pancutan air berkuasa tinggi menggunakan kuasa generator diesel terpaksa digunakan susulan kebanyakkan kediaman di Mentakab, Pahang, menghadapi masalah terputus bekalan elektrik.

“Kita turut membekalkan peralatan bahan cucian kepada semua mangsa banjir di Mentakab dan Selangor,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian BERSATU Kuala Terengganu, Badrolhisham Mohamed @ Shafie memaklumkan Skuad Prihatin BERSATU Terengganu cakna dengan keadaan semasa yang melanda penduduk-penduduk terkesan akibat banjir.

Badrolhisham berkata kerja-kerja pembersihan bagi rumah-rumah yang telah surut daripada banjir sedang dilakukan hari ini.

“Hari ini, kami sedang bantu kerja-kerja pembersihan di kawasan sekitar di sini,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *