Pastikan warga PTPTN yang ditimpa bencana banjir dibantu segera

KUALA LUMPUR, 29 Dis – Pengurusan atasan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diminta memastikan warga PTPTN yang ditimpa bencana banjir dapat dibantu dengan segara.

Pengerusi PTPTN yang juga Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata setakat ini seramai 39 warga PTPTN yang ditimpa bencana banjir mengalami kerosakan rumah dan kenderaan.

Wan Saiful berkata warga PTPTN adalah tulang belakang agensi dan kebajikan semua pegawai mesti dijaga, tanpa mengurangkan khidmat kepada masyarakat yang lebih luas.

“Pengurusan atasan harus terus mengumpul maklumat jika ada warga PTPTN yang terkesan oleh bencana banjir dan tahap kerosakan yang mereka alami.

“Skuad PTPTN Prihatin mesti bergerak menyampaikan bantuan barangan keperluan asas kepada warga PTPTN yang terkesan oleh banjir dan membantu membersihkan rumah-rumah warga PTPTN serta rumah jiran-jiran berdekatan semampu yang boleh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Wan Saiful berkata pengurusan atasan PTPTN perlu memastikan bantuan-bantuan lain, termasuk bantuan kewangan, harus diusahakan untuk membantu sedikit sebanyak warga PTPTN yang terkesan membina semula kehidupan.

“Semua bantuan kepada warga PTPTN ini perlu dilakukan tanpa mengurangkan komitmen Skuad PTPTN Prihatin untuk meneruskan misi bantuan banjir untuk rakyat secara amnya,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *