KOTA BHARU 28 Feb. – Program kebersamaan antara Srikandi BERSATU dan Dewan Muslimat Pas Kelantan dipertingkatkan lagi di peringkat negeri, bahagian dan cawangan di bawah Perikatan Nasional (PN).
Persetujuan bersama itu dicapai dalam pertemuan antara Ketua Srikandi Kelantan, Nor Aina Zakaria dan Ketua Dewan Muslimat Pas Kelantan merangkap Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd. Yusoff.
Kedua-dua pemimpin wanita negeri Kelantan itu mengadakan pertemuan bersama di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan, Kampung Sireh di sini.
Dalam pertemuan itu, Srikandi BERSATU Kelantan diwakili tujuh orang anggota manakala Dewan Muslimat Pas Kelantan sebanyak enam orang.
Nor Aina memberitahu, pertemua Srikandi dan Dewan Muslimat Pas Kelantan itu sebagai salam perkenalan di samping bagi meningkatkan lagi kerjasama kebersamaan di bawah program PN.
“Melalui kerjasama kebersamaan antara Srikandi dan Dewan Muslimat Pas Kelantan ini usaha menangani dan membela rakyat akan lebih berkesan.
“Kami mahu eratkan silaturahim dan sama-sama berusaha untuk membantu rakyat di semua peringkat,” katanya.