SOP DUA DARJAT PERLU DIHENTIKAN, PENGUAT KUASA HARUS PATUH NASIHAT PERDANA MENTERI

Kebelakangan ini sering diperkatakan dalam media sosial tentang pelaksanaan SOP dan kompaun yang dikenakan ke atas mereka yang melakukan pelbagai jenis kesalahan berkaitan usaha menangani wabak Covid-19.

Ramai marah dengan layanan yang kelihatan tidak sama rata diberikan kepada golongan VIP berbanding rakyat biasa. Banyak contoh diberikan, seperti peniaga-peniaga kecil, jawatankuasa masjid atau pelajar yang diberi kompaun serta-merta dengan jumlah nilai yang amat besar.

Manakala bagi golongan VIP pula, layanan yang kelihatan seolah-olah istimewa diberikan, seperti denda yang kecil atau siasatan yang mengambil masa terlalu lama.

Perkara ini tidak seharusnya berlaku. Komitmen kerajaan PN adalah suatu pentadbiran yang prihatin rakyat, adil saksama dan juga berintegriti. Jadi, pelaksanaan dasar-dasar di peringkat jentera penguatkuasaan perlu mencerminkan komitmen kepada keadilan.

Rakyat perlu melihat bahawa tiada pelaksanaan undang-undang berbeza bagi darjat yang berbeza. Jika penguat kuasa bertindak berlebihan, reputasi buruk akan terpalit kepada kerajaan PN walaupun anggota penguat kuasa melakukan amanat sebagai penjawat awam.

Teguran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mesti diambil perhatian oleh anggota penguat kuasa. Pendekatan yang diambil mestilah sentiasa berhemah dan bertimbang rasa dalam memastikan pematuhan SOP dalam kalangan rakyat.

Saya amat setuju dengan teguran Tan Sri Muhyiddin, dan mengulangi seruan beliau bahawa walaupun ketegasan itu penting untuk memastikan peraturan dipatuhi, pada masa sama perlu ada budi bicara dan perikemanusiaan dalam tindakan yang diambil agar usaha mendidik masyarakat itu lebih diterima.

Apa yang lebih penting ialah pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang mestilah bersifat adil dan kelihatan adil tanpa membezakan darjat. Kesaksamaan dan timbang rasa haruslah dititikberatkan oleh anggota penguat kuasa dengan mengambil kira keadaan dan konteks perlanggaran SOP.

Kita semua amat berharap agar semua rakyat tanpa mengira status dan darjat dapat mengharungi tempoh pandemik ini dengan mematuhi SOP yang ditetapkan melalui kesedaran dan bukannya hukuman.

 

EMA SYUHAILI MOHD. SUKOR
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU
Pengerusi Srikandi Muda BERSATU Malaysia

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *