Kejadian bakar suar, salahkan kerajaan, kenapa dibiarkan kerana kita masih dalam perintah Darurat

Kejadian membakar suar dan memasang kain rentang sambil menyalahkan kerajaan di Negeri Johor adalah perbuatan yang amat memalukan serta menggugat ketenteraman awam.

Apa tidaknya, ketika umat Islam melahirkan rasa kesyukuran menyambut Syawal, namun ada segelintir pihak yang cuba menanamkan sifat membenci kerajaan walaupun selepas melalui Ramadan.

Sepatutnya setelah melalui Ramadan, banyak iktibar serta manfaat yang diperolehi termasuk tidak menimbulkan suasana tegang.

Sebaliknya pihak terbabit meraikan sambutan Syawal itu dengan membakar suar dan memasang kain rentang yang lebih kepada provokasi untuk menyalahkan kerajaan.

Timbul persoalan iaitu perbuatan itu berlaku di kawasan pemimpin wakil rakyatnya dari parti mana? Bukan mahu menuduh tetapi rakyat tahu mesti ada pihak yang ‘mendesak’ supaya perbuatan itu dilakukan.

Apakah perbuatan memalukan itu sebenarnya diatur, dibayar dan mendapat restu wakil rakyat kawasan berkenaan? Tepuk dada tanya selera.
Apa pun itulah tanda kesyukuran yang ditunjukkan pihak terbabit selepas melalui Ramadan dan menyambut Syawal.

Pada masa sama, apa Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay lakukan untuk menangani perbuatan tersebut?

Ayob Khan perlu ingat bahawa negara kita sekarang masih dalam perintah Darurat. Sepatutnya perbuatan sedemikian harus dibendung dan dibanteras habis-habisan.

Jika Ayob Khan selama ini boleh menguar-uarkan secara meluas kejayaan polis Johor dalam membanteras sindiket dadah, jenayah dan sebagainya, apakah perbuatan membakar suar dan memburukkan kerajaan di Johor gagal diambil tindakan?

Perbuatan itu sebenarnya melanggar perintah Darurat. Sepatutnya dalam masa Darurat ini negara kita lebih aman.

Harapan saya, janganlah Ayob Khan berdiam diri. Ambillah tindakan tegas. Janganlah takut walaupun ia melibatkan desakan politik sesetengah pihak.

Sedarkah bahawa jika perbuatan tersebut tidak dihalang dan dibendung, tidak mustahil ia akan merebak ke tempat lain. Jika ini berlaku maka perbuatan tidak bertanggungjawab itu bermula di Johor dan Ayob Khan boleh dipersalahkan dalam hal ini.

Perbuatan mengganggu ketenteraman awam terutama ketika perintah Darurat masih berkuat kuasa, boleh dikenakan hukuman lebih berat. Sehubungan itu, Ayob Khan digesa supaya telus dan bertindak tegas dengan berani.

Hormati dan laksanakan setiap peraturan sepanjang perintah Darurat ini kerana ia adalah perintah Yang di-Pertuan Agong.

 

DATUK HISHAMUDDIDN ABDUL KARIM

Setiausaha Biro Penerangan BERSATU Malaysia

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *