BANDAR RAYA MELAKA 30 Mei – Apabila berbakti kepada seseorang, bukan balasan yang diminta kerana apa yang dilakukan itu menjadi tanggungjawab demi rakyat.
Bagi si penerima pula, tiada lain yang perlu dibalas tetapi memadai ucapan ‘terima kasih’ dari hati yang ikhlas.
Dalam hal ini, kanak-kanak pun tahu untuk mengucapkan ‘terima kasih’ tanpa sebarang paksaan kerana jiwa kanak-kanak itu bersifat bersih.
“Terima kasih banyak-banyak. Terima kasih PN,” kata Nur Aryisa Afrina Suhaimi, 11.
Itulah ucapan pertama apa ditanya siapa yang menaja cermin mata percuma untuk kanak-kanak ini.
Nur Aryisa berkata, dia seronok apabila diberikan cermin mata percuma yang membolehkan dia belajar, membaca dan menulis di sekolah.
Kanak-kanak itu sebahagian daripada beberapa orang pelajar yang menerima cermin mata percuma sumbangan Eyecon Group Sdn. Bhd. dengan kerjasama MAIM Industries Sdn. Bhd., anak syarikat milik kerajaan negeri Melaka.
Apabila ditanya pada Nur Aryisa adakah dia disuruh ucapkan terima kasih dan sebut nama PN, kanak-kanak itu menjawab; “Tidak”.
“Tapi saya tahu cerima mata ini bantuan PN,” katanya.
Bagi Muhammad Daniel Ikhwan Hairul Anuar, 11, pelajar Sekolah Sri Ahmadiah, Telok Mas, pemberian cermin mata itu memang sudah lama dinantikan.
“Saya seronok dan saya janji akan terus tekun belajar.
“Terimah kasih, terima kasih. Saya dapat tahu PN yang sumbang, betul ke?” tanyanya.
Seorang lagi pelajar yang turut menerima cermin mata percuma, Muhammad Zamir, 14, memberitahu, sebelum ini sukar baginya untuk mengulangkaji pelajaran.
“Tanpa cermin mata memang sukar untuk belajar.
“Terima kasih PN,” katanya yang menunjukkan kegembiraan tidak terhingga.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Eyecon Group Sdn. Bhd., Datuk Murphy Chan berkata, sumbangan cermin mata itu sebahagian daripada kewajipan sosial pihaknya kepada rakyat termasuk golongan asnaf, ibu tunggal, warga emas dan sebagainya.
“Apabila Eyecon Group dapat membantu rakyat, kita sangat puas hati kerana secara langsung boleh berkongsi sebahagian daripada keuntungan yang diperolehi,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi MAIM Industries Sdn. Bhd., Datuk Hishamuddin Abdul Karim yang juga Ketua BERSATU Bahagian Kota Melaka berkata, kerjasama dengan Eyecon Group memberi banyak manfaat kepada golongan yang memerlukan cermin mata.
“Kita bercadang memperluaskan lagi kerjasama sama ini ke sekolah-sekolah dan sebagainya,” katanya.