PUTRAJAYA 15 Jun – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelaksanaan Fasa 3 PKP hanya akan dilakukan setelah negara berjaya memenuhi beberapa pencapaian seperti ditetapkan oleh kerajaan dalam menurun serta memutuskan rantaian Covid-19.
Beliau berkata, antara pencapaian itu ialah kes harian Covid-19 dapat diturunkan di bawah 2,000 kes di samping sistem kesihatan awam juga pada tahap selesa dengan penggunaan katil adalah mencukupi untuk pesakit.
Menurutnya, pada masa sama untuk memasuki Fasa 3 juga, kerajaan akan memastikan sebanyak 40 peratus populasi rakyat negara ini sudah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 bagi setiap orang.
“Sekarang ini kita masih dalam Fasa 2 dan jika kita dapat memenuhi beberapa pencapaian, kerajaan akan umumkan PKP untuk Fasa 3.
“Dalam Fasa 3 nanti, beberapa sektor ekonomi akan turut dibuka secara berperingkat berdasarkan senarai yang dikeluarkan. Namun rentas sempadan masih tidak benarkan. Juga tidak dibenarkan ialah majlis keramaian.
“Dengan pelaksanaan PKP yang ketat, kita jangka dapat melaksanakan Fasa 3 pada awal Ogos nanti,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan melalui saluran TV utama hari ini.
Muhyiddin berkata, dari Fasa 3, kerajaan yakin dapat melaksanakan Fasa 4 pada akhir tahun ini dan memperlihatkan kehidupan rakyat kembali normal.
Beliau berkata, Fasa 4 juga tertakluk kepada beberapa pencapaian termasuk 80 peratus populasi rakyat negara ini sudah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.
“Dalam Fasa 4 walaupun kehidupan rakyat kembali normal namun rakyat masih perlu mematuhi SOP yang ketat bagi memastikan penularan dan rantaian Covid-19 dapat terus dibendung.
“Dalam Fasa 4 lebih banyak sektor ekonomi dibenarkan dan kita jangka ia dapat dilaksanakan akhir tahun ini,” katanya.