KUALA LUMPUR, 15 Jul — Rakyat diminta bertenang dan tidak terikut dengan cara pembangkang yang memperlekehkan kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Datuk Seri Panglima Lajim Ukin berkata tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana semua ahli Parlimen UMNO-BN dan rakan-rakan parti komponen Perikatan Nasional tetap teguh menyokong Muhyiddin.
“Mohon ambil maklum bawa Kerajaan PN masih kukuh hari ini. Saya berpeluang bertanya berhubung dengan pemimpin atas BERSATU, saya diberi penjelasan bahawa Tan Sri Presiden Bersatu merangkap Perdana Menteri bahawa tiada apa-apa yang perlu kita bimbang kerana hampir semua MP UMNO-BN dan rakan-rakan Parti yang bersama PN tetap teguh menyokong kepimpinan Perdana Menteri.
“Oleh itu saya harap kita terus bertenang dan mari kita bersama dan terus berdoa semoga Presiden tabah dan memohon kepada Allah semoga perjalanan beliau dipermudahkan.
“Jangan kita terikut-ikut dengan cara pembangkang yang terus memperlekeh kepimpinannya,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Pada Rabu, ahli Jemaah Menteri sebulat suara kekal memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Dalam kenyataan ringkas, keutamaan kerajaan ketika ini adalah untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara serta membawa negara keluar daripada pandemik COVID-19.
Menyentuh mengenai Parlimen Beaufort, beliau menyeru semua ahli BERSATU memperkuatkan saf kepimpinan untuk persiapan jentera menuju Pilihan Raya Umum ke 15.
Katanya, ini bagi membolehkan lebih banyak pembangunan dapat dibawa jika Parlimen Beaufort menang pada PRU15.
“Kita terus bersatu kuatkan saf kepimpinan kita di bahagian bersama Datuk Isnin Aliasnih, Ketua Bahagian BERSATU Beaufort untuk mempersiapkan jentera kita untuk menghadapi PRU ke 15 dan kemungkinan tidak berapa lama lagi sebagai mana yang dijanjikan Presiden.
“Presiden juga dalam mesyuarat MPT baru-baru ini berpesan kepada semua ahli BERSATU agar berlapang dada supaya kita menang dalam PRU 15 termasuk kawasan kita supaya kita dapat membawa lebih banyak Pembangunan termasuk selesaikan masalah yang masih berlarutan seperti air, elektrik serta ekonomi peluang pekerjaan dan pembangunan yang lainnya,” katanya.
Dalam pada itu, Lajim yang juga Pengerusi Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) berkata agensi itu melanjutkan moratorium bayaran pinjaman berkuat kuasa sehingga 31 Julai ini.
Menurutnya, langkah tersebut memberi manfaat kepada 378,507 peminjam agensi berkenaan.
Katanya, langkah itu juga dibuat selepas lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang diumumkan kerajaan.