Beri keutamaan enam isu termasuk khidmat doktor kontrak, ubat Ivermectin

KUALA LUMPUR, 14 Jul — Kerajaan digesa memberikan keutamaan enam isu dalam menangani secara bijak dan berhemah bagi pengurusan Covid-19 di peringkat kebangsaan.

Pengerusi Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara Datuk Razali Idris berkata pihaknya mengambil serius terhadap beberapa isu besar pengurusan pentadbiran dan operasi kesejahteraan kesihatan awam yang perlu ditangani secara bijak serta berhemah.

Katanya, keputusan yang bijak dan tindakan segera adalah sangat penting kerana rakyat sentiasa menaruh harapan bagi setiap pelaksanaan strategik kesihatan awam di negara.

“Pertama, isu kira-kira 35,000 doktor, pegawai pergigian dan pegawai farmasi yang kesemuanya bertaraf kontrak ini hendaklah diperhalusi termasuk skim ini dijadikan lebih bermanfaat dan menyakinkan. Adalah dicadangkan juga pegawai-pegawai kontrak ini diserapkan secara berfasa mengikut kepentingan dan keperluan tinggi bidang perubatan dan hospital. Khidmat pegawai-pegawai perubatan ini sangat dituntut pada waktu ini.

“Kedua, isu pengurusan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) terutama di Lembah Kelang hendaklah dinilai dan tambahbaik, khususnya proses pendaftaran pesakit, bekalan tangki oksigen dan penambahan bilangan petugas kesihatan serta sokongan anggota “frontliners” yang lain. Penyebaran maklumat lokasi CAC menerusi pelbagai platform media arus perdana dan media sosial baharu hendaklah dilaksanakan secara meluas dan konsisten. Orang ramai masih memerlukan maklumat media secara efektif bagi mengelak sebarang kesesakan melampau di CAC tertentu.

“Ketiga, pendekatan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara terus dari rumah ke rumah, PPV bergerak menggunakan pelbagai jenis kenderaan dengan lebih tuntas serta pemberian vaksin secara serta-merta tanpa melalui MySejahtera, terutama di kawasan luar bandar hendaklah dilaksanakan secara mudah dan dibenarkan,” katanya yang juga Ahli Pimpinan Tertinggi BERSATU, dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut Razali, isu keempat adalah kebenaran pembelian dos vaksin berskala besar perlu dibenarkan secara pemantauan rapi dan selamat kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC), anak-anak syarikat milik kerajaan negeri, syarikat-syarikat multinasional dan swasta demi kesejahteraan kesihatan awam pekerja masing-masing.

“Tidak terkecuali pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang boleh disasarkan kepada kumpulan tertentu seperti orang tua, gelandangan, orang kurang upaya (OKU), pesakit-pesakit bersasar, ibu tunggal dan anak-anak yatim.

“Kelima, penggunaan kaedah pengambilan sampel air liur bagi ujian saringan Covid-19 hendaklah disegerakan berdasarkan makluman awal bahawa pendekatan baharu saringan ini adalah lebih baik, lebih cepat, lebih selamat dan lebih berkesan serta lebih murah,” katanya.

Tambah beliau, isu keenam kebenaran penggunaan ubat Ivermectin bagi merawat pesakit Covid-19 perlu disegerakan kerana keberkesanannya yang sangat tinggi dan bukti-bukti perubatan di negara luar yang berjaya mengurangkan kadar jangkitan harian.

“Soalnya sekarang ialah ubat Ivermectin ini sudah digunakan sejak tahun 1970-an bagi merawat beberapa penyakit dan wabak lain,” katanya.

Katanya, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara turut menyokong saranan segera Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin untuk membeli mana-mana vaksin yang sedia ada dan telah diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta mempunyai pensijilan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atas matlamat memastikan komuniti selamat dilindungi semua.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *