KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Sejumlah 300 bakul makanan berjaya diagihkan di Parlimen Kuala Krau dalam program Bakul Prihatin Negara sepanjang bulan Ogos, melibatkan penduduk yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Ketua Srikandi BERSATU Pahang, Faizah Baharom berkata sebahagian besar penerima bakul makanan di parlimen itu terdiri daripada keluarga yang hilang punca pendapatan dan hilang pekerjaan.
Katanya, kebanyakan mereka merupakan peniaga dalam bidang Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di mana ekonomi perniagaan terjejas sejak wabak COVID-19 melanda negara.
“Dalam pandemik ini, majoriti rakyat terkesan dengan cara yang tersendiri. Ada yang hilang pekerjaan, terpaksa menutup perniagaan dan sebagainya.
“Kita harap dengan bantuan bakul makanan ini dapat membantu secara langsung atau tidak langsung golongan ini untuk meringankan beban mereka,” katanya ketika dihubungi Wacana.my.
Mengulas lanjut, Faizah berkata inisiatif program ini juga diharapkan mampu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat yang kini bergelut untuk meneruskan kehidupan akibat pandemik.
“Saya berharap dengan adanya program bakul makanan ini, rakyat akan nampak yang kerajaan sentiasa prihatin terhadap kesusahan rakyat.
“Kerajaan tidak akan tinggalkan rakyat begitu sahaja, kita akan sentiasa bersama dengan rakyat untuk menempuh masa-masa sulit ini,” katanya.