KOTA KINABALU, 22 Sept — Kerajaan Negeri Sabah membelanjakan sejumlah RM1.25 bilion bagi pakej bantuan untuk membantu meringankan bebanan rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, jumlah itu termasuk RM324 juta yang dibelanjakan pada tahun ini.
Beliau berkata, insiatif ini akan dapat meningkatkan kitaran wang dalam ekonomi negeri bagi menjamin kelangsungan hidup rakyat dan perniagaan yang dijalankan di Sabah pada masa yang mencabar ini.
Hajiji (BERSATU-Sulaman) berkata, Kerajaan Persekutuan juga memperuntukkan RM256.9 juta kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) manakala, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memperuntukkan sebanyak RM110 juta untuk pengurusan berkaitan Covid-19 di Sabah.
Di samping itu, Kerajaan Persekutuan turut memperkenal dan melaksanakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan pelbagai pakej rangsangan lain seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai), Strategi Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang bertujuan untuk memulihkan sektor-sektor ekonomi dan sosial yang terjejas akibat pandemik ini.
Justeru, beliau berkata, seiring dengan langkah mempercepatkan pemulihan ekonomi, kerajaan negeri sedang memperhebatkan pelaksanaan program vaksinasi dalam kalangan penduduk di Sabah untuk mencapai imuniti kelompok sebelum akhir Oktober ini.
“Untuk mencapai hasrat tersebut, kerajaan negeri membuka lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV), mempergiatkan pelaksanaan program bergerak Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) ke kawasan luar bandar, pemberian vaksin secara datang terus (walk-in) serta kerjasama sektor awam-swasta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Calvin Chong (DAP-Elopura) mengenai langkah pemulihan ekonomi dan sosial di Sabah.
Pencapaian imuniti kelompok akan membolehkan lebih banyak sektor ekonomi dan premis perniagaan dibuka serta aktiviti sosial juga dibenarkan di Sabah.
Mengulas lanjut katanya, melalui Program Subsidi Upah (PSU) pula, seramai 283,745 pekerja di Sabah mendapat manfaat menerusi perbelanjaan sebanyak RM975 juta.
Rakyat negeri ini turut menerima bantuan tunai langsung melalui Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang membabitkan 782,000 penerima dengan perbelanjaan sebanyak RM628 juta bagi meringankan kos sara hidup dan pemulihan ekonomi semua lapisan rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Sementara itu, Bantuan Khas Covid-19 (BKC) pula sedang dalam proses pengagihan ketika ini.