PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bersedia untuk membaik pulih rumah yang rosak dan musnah akibat banjir.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, bantuan itu dilakukan di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
“KPLB telah mengenalpasti beberapa mangsa banjir yang terlibat dalam kriteria kumpulan sasar penerima bantuan PPRT,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, kementerian dan agensi juga menyediakan bantuan pasca banjir berbentuk barangan keperluan dan makanan sedia untuk dimakan serta kit bantuan banjir.
“Sehingga hari ini (Selasa), kit bantuan telah diserahkan kepada 958 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya.
Beliau berharap, mangsa banjir yang ditempatkan di PPS dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan selain mengamalkan normal baharu.