Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mementingkan usaha mempertahankan negara, ekonomi dan keselamatannya; serta melindungi nyawa rakyat dan kesejahteraan hidupnya.
Ini dibuktikan melalu Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi memerangi wabak COVID-19, dan dicerminkan oleh pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengenai pelaksanaan tiga peringkat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantai penularan COVID-19.
Dalam kajian keselamatan, dua tindakan di atas diistilahkan sebagai pensekuritisasian serentak atau `concurrent securitization’.
Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri, secara serentak mengisytiharkan wabak COVID-19 sebagai ancaman nyata kepada negara dan rakyat, yang perlu dikendalikan secara komprehensif, serta-merta dan menerusi pendekatan yang luar biasa.
Ini disebabkan “kes jangkitan Covid-19 semakin meningkat dan tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan dalam masa terdekat”.
Mulai penghujung November 2020, fenomena kes harian empat digit bagi COVID-19 direkodkan setiap hari sehinggalah rekod tertinggi yang telah dilaporkan pada 7 Januari 2021, iaitu sebanyak 3,027 kes.
Pada waktu sama, ribuan rakyat yang menjadi mangsa banjir di beberapa negeri juga sedang terdedah kepada ancaman wabak ini.
Langkah darurat ini “bukanlah satu bentuk rampasan kuasa tentera [dan] perintah berkurung tidak akan dilaksanakan”.
Sebaliknya, “sepanjang tempoh darurat ini, kerajaan awam akan terus berfungsi”.
“Dari segi pentadbiran kerajaan, Jemaah Menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan terus berfungsi menurut Perlembagaan Persekutuan dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong dari semasa ke semasa”.
Ini juga membuktikan pelaksanaan darurat di atas tidak bermotifkan politik. Sebaliknya, langkah berani ini adalah demi negara dan rakyat jelatanya.
Ia untuk menjamin keselamatan nyawa mereka, keselamatan ekonomi rakyat dan negara, dan keselamatan nasional seluruhnya. Tindakan darurat ini juga untuk mengabsahkan pelbagai strategi pengurusan keselamatan, termasuk bentuk undang-undang, perintah dan peraturannya; serta struktur pengurusan keselamatan dan kumpulan pelaksanaannya bagi urusan membendung, mengekang dan memerangi COVID-19.
Namun menerusi proklamasi ini, “Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak akan bersidang sehingga suatu masa yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong [dan] di sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa, Pilihan Raya Umum, Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Kecil tidak akan diadakan”.
Tetapi, pelaksanaan darurat ini “dibuat secara adil dan telus” menerusi penubuhan Jawatankuasa Khas Bebas di bawah suatu Ordinan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong “sama ada darurat besar masih berlaku dalam Persekutuan bagi meneruskan tempoh kuat kuasa Proklamasi Darurat atau menamatkan Proklamasi lebih awal dari tarikh yang ditetapkan”.
Seperti dijelaskan oleh Muhyiddin, tindakan ini membolehkan Yang di-Pertuan Agong “memperuntukkan kuasa-kuasa perlu untuk mengekang dan menghalang daripada berlakunya penularan wabak COVID-19 dengan lebih serius di negara ini”.
Ia juga membolehkan beberapa Ordinan Darurat dimasyhurkan oleh Yang diPertuan Agong bagi tujuan membendung wabak COVID-19 yang merangkumi hal-hal berkaitan penggunaan aset hospital swasta, pengambil milikan sementara tanah, bangunan atau harta alih hospital swasta atau membuat permintaan untuk penggunaan sumber hospital swasta bagi tujuan merawat pesakit COVID-19.
“Kerajaan juga boleh mendapatkan penglibatan yang lebih inklusif daripada pihak swasta termasuk kemudahan penjagaan kesihatan swasta bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh agensi kerajaan terutamanya hospital awam.
Menerusi ordinan ini, bantuan yang boleh diperolehi daripada pihak swasta meliputi sumber manusia, kepakaran, fasiliti, aset, makmal ujian dan utiliti.
Seterusnya, kuasa-kuasa perlu di bawah Ordinan ini juga akan digunakan untuk memudahkan urusan dan mengatasi apa-apa peraturan yang menyukarkan penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara pantas, cekap dan berkesan dalam masa pandemik ini.
Selain itu, suatu ordinan juga boleh dimasyhurkan untuk memperuntukkan kuasa penguatkuasaan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain kuasa yang sedia ada, mengikut kuasa-kuasa yang diperuntukkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Kanun Tatacara Jenayah atau mana-mana undang-undang penguatkuasaan lain yang berkaitan.
Proklamasi darurat ini juga membolehkan ATM “diperuntukkan kuasa untuk membantu melaksanakan fungsi-fungsi berhubung dengan kesihatan awam dan fungsi-fungsi yang dijalankan oleh pegawai awam yang berkaitan semasa pandemik ini”.
Pada tempoh sama, “suatu Ordinan boleh dimasyhurkan untuk meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan Akta ini dalam membendung penularan COVID-19” .
“Ini termasuk meningkatkan penalti atau hukuman ke atas sesiapa yang melanggar undang-undang dan peraturan berkaitan pengawalan wabak COVID-19”.
Sama pentingnya, proklamasi ini membolehkan ordinan-ordinan yang bertujuan untuk memerangi sabotaj ekonomi, monopoli dan kenaikan harga barang secara keterlaluan dalam masa pandemik juga boleh dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Kesimpulannya, deklarasi darurat ini adalah tindakan proaktif dalam pengurusan keselamatan, bukan tindakan politik. Ia wajar disokong oleh semua pihak yang prihatin terhadap nasib dan nyawa rakyat serta keselamatan ekonomi negara.
Datuk Dr. Ruhanie Ahmad. adalah penganalisis pertahanan dan keselamatan nasional