MPP Bandar Tun Razak bekerjasama dengan PIBG, pihak berkuasa pantau sesi persekolahan baharu  

KUALA LUMPUR 2 Mac – Sesi baharu persekolahan pasti menggembirakan ramai pihak terutama anak-anak sekolah, namun prosedur operasi standard tetap perlu dipatuhi bagi menghindarkan penularan Covid-19.

Sehubungan itu, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Bandar Tun Razak merangkap Ketua BERSATU bahagian, Mohd. Shahni Ismail mengambil inisiatif membantu pihak berkuasa, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) untuk sama-sama memantau dan menasihati murid serta ibu bapa yang mengiringi anak-anak mereka ke sekolah supaya mematuhi SOP.

Bermula awal pagi dan meluangkan masa satu jam  setengah, MPP Bandar Tun Razak mengadakan pemantauan di Sekolah Kebangsaan Desa Tasik di sini.

“Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dan teratur. Pelbagai usaha diatur oleh pihak sekolah dan PIBG bagi memastikan kelancaran sesi kemasukan para murid.

“Kerjasama dengan pihak polis untuk menjadikan laluan bersistematik disusun bagi memastikan kesesakan dapat dikawal,’’ kata Mohd. Shahni.

Pada pemantauan itu, Mohd. Shahni turut menyampaikan sumbangan 300 `face shield’ sumbangan BERSATU bahagian, 30 beg sekolah sumbangan PTPTN dan 30 pasang kasut sekolah sumbangan daripada individu yang disampaikan kepada pihak sekolah.

Turut hadir Timbalan Ketua BERSATU bahagian, Shaharuddin Hanafiah, Bendahari bahagian, Nor Zamani dan Ketua Armada bahagian, Mohd. Afiq.

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *