Pejabat BERSATU Kelantan dirasmikan, tingkatkan kerjasama dengan Pas

KOTA BHARU 2 Mac – Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU),  Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin merasmikan pejabat BERSATU Negeri Kelantan di sini.

Majlis perasmian itu turut dihadiri Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Ketua BERSATU Bahagian Tanah Merah merangkap Ketua Penerangan Negeri, Bahari Mohamad Nor memberitahu, selepas perasmian itu, solat berjemaah dan solat sunat hajat turut diadakan.

Atas semangat Perikatan Nasional (PN), majlis juga diserikan dengan kehadiran Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tawang, Datuk Hassan Mahmood dan Pengarah Pilihan Raya Pas negeri, Zulkifli Mamat.

Menurut Bahari, selain itu antara pemimpin yang hadir termasuk Pengerusi BERSATU Kelantan, Dato’ Kamaruddin Md. Nor dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kelantan merangkap ADUN Selising, Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail.

“Dengan adanya pejabat BERSATU ini, kita akan bekerjasama dengan Pas di bawah PN untuk membantu rakyat serta menganjurkan program-program yang menyantuni penduduk,” katanya.

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *