Perikatan Nasional bantu keluarga pemandu lori ditimpa musibah  

KUALA LUMPUR 2 Mac. – Kerosakan rumah akibat kebakaran, itulah yang terpaksa ditanggung oleh seorang pemandu lori, Sharuddin Ramley, 52, apabila sebahagian rumahnya dijilat api di Pangsapuri Intan, Taman Bukit Permai, di sini.

Namun, beliau bersama empat ahli keluarganya terselamat dalam kebakaran pada 19 Februari lalu.

Pada masa sama, Sharuddin agak terkilan kerana tidak ada pemimpin tempatan yang datang menjenguknya dan keluarga yang ditimpa musibah itu.

Bagaimanapun, keadaan itu berubah apabila Ketua Penerangan Penggerak Komuniti Negara (PNK) Malaysia, Zakaria Ab. Rahim bersama ahli-ahli Perikatan Nasional (PN)  yang mendapat maklumat mengenai nasib keluarga tersebut meluangkan masa menziarah selain menyampaikan bantuan.

Zakaria memberitahu, PN menghulurkan sumbangan berupa barangan asas keperluan selain wang tunai.

Tambahan pula, kata beliau, ada anak Sharuddin yang masih bersekolah dan memerlukan persiapan sebelum bermulanya sesi persekolahan.

“Kita akan cuba membantu keluarga Sharuddin sedaya mampu,” katanya.

Berikutan kejadian tersebut, penduduk di kawasan itu kini bercadang menubuhkan pasukan bomba komuniti sebagai langkah awal bagi mengambil tindakan jika berlaku sesuatu kebakaran.

Dalam kebakaran itu, jentera bomba menghadapi kesukaran untuk masuk ke blok tempat kejadian disebabkan kesesakan kenderaan yang diletakkan di kawasan masuk.

Zakaria berkata, penubuhan pasukan bomba komuniti itu adalah langkah terbaik selain ia mewujudkan kerjasama antara penduduk.

“PN akan terus memantau keperluan keluarga Sharuddin dan melihat bentuk bantuan seterusnya,” katanya.

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *