Siasat, tangkap dan dakwa dalang bakar suar di Parit Raja

JOHOR BAHRU 14 Mei – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) BERSATU Negeri Johor mendesak pihak berkuasa untuk menyiasat, tangkap dan dakwa dalang di sebalik demostrasi jalanan menggunakan suar di Parit Raja, Batu Pahat, malam semalam.

Ketua Armada BERSATU Johor, Muhammad Shamsudin Paijan menegaskan, tindakan tegas perlu diambil kerana tindakan itu agak serius ketika mana negara kita sedang berhempas-pulas membendung penularan Covid-19 dan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, Armada BERSATU percaya perbuatan yang tidak bermoral itu didalangi oleh individu tidak bertanggungjawab dalam merancang untuk menimbulkan provokasi, spekulasi dan persepsi buruk tetrhadap kerajaan.

 

“Armada BERSATU Johor yakin dan percaya tanpa dalang yang menyogok dan mengarahkan provokasi ini yang menggunakan anak muda sebagai alat provokasi bagi kepentingan politik peribadi, kejadian tersebut tidak akan berlaku.

“Namun, ternyata sudah terlihat beberapa ahli politik menunjukkan sokongan dan bersetuju dengan tindakan tersebut,” katanya.

Malam tadi tular kejadian sekumpulan pemuda yang membakar suar dan memegang kain rentang bertulis perkataan ‘Kerajaan Gagal’.

Menurut Shamsuddin, Armada BERSATU Johor amat kesal kerana rata-rata anak muda dijadikan alat provokasi sehingga menyebabkan implikasi besar kepada masa depan mereka.

“Usahlah memperjudikan masa depan anak muda ini demi kepentingan politik peribadi. Sebaiknya, bimbing anak muda ini dengan menggunakan masa dan tenaga mereka seperti membantu kerajaan menyebarkan kesedaran dan pentingnya mematuhi SOP yang ditetapkan bagi menangani krisis Covid-19 ini,” katanya.

“Armada BERSATU Johor juga menyeru kepada semua pihak supaya tidak bertindak di luar batasan sehingga mengakibatkan keadaan yang di luar jangka,” katanya.

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *