Tingkatkan pengisian jiwa anak muda supaya tidak mudah diperkotak-katikkan oleh hasutan politik

KLANG 15 Mei – Tindakan mempergunakan anak-anak muda dengan membakar suar sambil menyalahkan kerajaan dalam kejadian di Parit Raja, Batu Pahat, Johor dua hari lalu, secara tidak langsung membuktikan bahawa golongan terbabit memerlukan hala tuju yang betul selain pengisian kerohanian.

Ia juga menunjukkan bahawa tanpa pengisian jiwa yang positif, anak-anak muda bukan sahaja mudah diperkotak-katikkan oleh kepentingan politik pihak tertentu, malah dipergunakan untuk tujuan mengugat ketenteraman awam.

Lebih malang lagi, kejadian itu berlaku ketika perintah Darurat masih berkuat kuasa. Bermakna anak-anak muda yang terbabit dalam insiden itu langsung tidak memahami apa itu perintah Darurat.

Ketua Armada BERSATU Bahagian Kota Raja, Muhammad Affendi Mohd. Dilif berkata, dari insiden itu, diyakini ada dalang atau pihak tidak bertanggungjawab dengan mudah menghasut anak-anak muda ini demi kepentingan politik diri sendiri.

Menurutnya, tanpa menyedari kesan dari tindakan itu, anak-anak muda terbabit menjadikan perbuatan mereka itu suatu kebanggaan walaupun semasa perintah Darurat.

“Armada Kota Raja berpandangan bahawa insiden itu boleh dielakkan jika anak-anak muda terbabit mempunyai hala tuju yang betul serta jadi diri.

“Jadikan kejadian itu satu iktibar. Kerajaan perlu sentiasa mendekati anak-anak muda ini kerana mereka memerlukan pengisian jiwa dan pengetahuan yang betul supaya tidak ada pihak dengan mudah mempergunakan mereka.

“Jika setiap anak muda dalam negara ini diterapkan pengisian yang betul, saya yakin mereka tidak mudah terpengaruh atau terikut-ilkut dengan desakan atau hasutan politik pihak tidak bertanggungjawab.

“Malah pengisian yang betul akan menjadikan anak-anak muda ini lebih bertanggungjawab terhadap negara,” katanya.

Beliau seterusnya berkata, ilmu kerohanian sebagai pengisian jiwa untuk anak-anak muda amat penting, tambahan pula undi 18 tahun dijangka akan berkuat kuasa dalam beberapa bulan lagi.

“Penting setiap anak muda di negara ini dibina, dibimbing serta diisi dengan pengetahuan yang betul kerana mereka bakal mewarisi negara ini.

“Jika kita terlepas pandang mengenai pentingnya pengisian jiwa melibatkan golongan anak-anak muda, akibatnya negara akan hancur,” katanya.

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *