Antara Covid19, Najib Razak dan MAGERAN

Isu Covid-19 adalah antara perkara yang amat tidak wajar dipolitikkan. Mana yang baik kita sokong, mana yang lemah kita perbaiki. Bukan tuding jari sana-sini. Sebaiknya kita pakat-pakat usaha supaya #MenangBersama.

Tapi #KlusterMerungut yang diketuai Najib Razak dan barisan pembangkang setiap hari cuba mencari kesalahan dan ‘claim’ kredit.

Saya faham Najib ‘desperate’ supaya orang terlupa jenayah dan rompakan yang dia lakukan manakala pembangkang pula cuba menutup perbalahan dalaman mereka. Tapi kalau iya pun, pilih-pilihlah isu yang sesuai.

Dalam mengurus Covid-19, saya lihat Tan Sri Muhyiddin Yassin tenang dan fokus. Memang kita tahu ada beberapa keputusan yang akan membuatkan kerajaan jadi tidak popular atau dituduh ‘flip flop’.

Tetapi Tan Sri Muhyiddin tegas: laksanakan yang terbaik untuk rakyat berdasarkan data terkini walaupun ia tidak popular atau mengundang tohmahan.

Sesekali ia menyebabkan kerja orang macam saya jadi sukar. Macam mana nak terangkan kepada rakyat bila dari awal kita dah tahu ia tidak popular?

Tetapi itulah cara Tan Sri Muhyiddin. #JalanTerus demi rakyat. Bukan populariti yang dicari. Kalau keputusan itu perlu disegerakan untuk kebaikan rakyat, laksanakan segera walaupun belum sempat buat media ‘engagement’. Yang penting bagi beliau ialah menjaga rakyat, walaupun ada kesan politik kepada dirinya sendiri.

Terbaharu, Tun Mahathir mencadangkan supaya ditubuhkan MAGERAN. Dari segi logik kuasa, sebenarnya cadangan ini pasti memudahkan Tan Sri Muhyiddin mentadbir kerana ia akan membolehkan kuasa  dipusatkan lebih kuat lagi. Tetapi cadangan yang autoritarian ini tidak diambil kerana Tan Sri Muhyiddin mahu mengekalkan ciri kerajaan ‘civilian’. Tan Sri Muhyiddin bukan seorang yag autoritarian.

MAGERAN pernah diwujudkan untuk menggantikan Kabinet selepas PRU 1969. Kuasa pentadbiran dipusatkan di bawah MAGERAN.

Tetapi sekarang Perikatan Nasional kekalkan Kabinet penuh yang menjalankan fungsi-fungsi seperti biasa. Kerana darurat kita kini ialah darurat kesihatan, bukan darurat keselamatan. Jadi Kabinet dan fungsinya boleh dikekalkan.

Selain itu kita juga ada Majlis Keselamatan Negara yang aktif menguruskan pandemik. Ada dua jenis sidang MKN. Pertama ialah Sidang Khas MKN Mengenai Pengurusan Covid-19 yang bersidang minimum dua kali seminggu. Dan kedua Sidang Khas MKN Mengenai Darurat yang bersidang minimum sekali setiap seminggu.

Dengan minimum tiga sidang MKN, ditambah lagi Mesyuarat Kabinet setiap minggu, ada empat mesyuarat khusus yang menangani hal ehwal semasa. Itu belum lagi jawatankuasa-jawatankuasa teknikal yang berbentuk operasional.

Semua isu pengurusan pandemik seperti keputusan berkaitan kesihatan awam, kuarantin, saringan rakyat, saringan pekerja asing, rawatan, vaksinasi, SOP, dan lain-lain, dibincangkan dalam mesyuarat-mesyuarat yang berkaitan. Keputusannya pula dilaksanakan oleh kementerian-kementerian yang bertanggungjawab.

Maksudnya semua kementerian dan jentera kerajaan sentiasa berfungsi secara optimum dan semua keputusan adalah berdasarkan data dan fakta terperinci.

Kaedah ini membolehkan keseimbangan antara kesihatan dan ekonomi rakyat dibincangkan dengan kerap dan keputusan dibuat lebih tepat pada masanya.

Adakah keputusan akan berubah-ubah? Ya sudah pasti. Kita memang harapkan ia berubah, terutama ke arah yang mengembalikan norma hidup rakyat, sebab data terkini berubah setiap masa. Situasi yang dinamik memerlukan pengurusan dinamik seperti dilakukan oleh kerajaan kini.

Adakah keputusan akan sentiasa betul? Pasti tidak semuanya. Tapi kerja secara konsensus berpasukan ini membawa kemungkinan lebih besar kita akan sentiasa buat keputusan yang terbaik untuk sesuatu waktu itu, berdasarkan data yang ada pada masa itu, dan juga memudahkan pembetulan dibuat jika tersalah.

Dalam keadaan kerajaan sedang berfungsi dengan optimum, bagi saya buat masa ini kita tidak perlu MAGERAN. Kerajaan berfungsi dengan baik. Bilangan kes baharu sedang dikawal. Kadar vaksinasi kita pula kini antara yang tertinggi di Asia. Pelabur pun sudah mula kembali. Bantuan sampai ke tangan hampir semua yang memerlukan.

Saya berpegang bahawa tanggungjawab kita sekarang ialah membantu menjadi penyelesai masalah. Kita semua mesti memainkan peranan masing-masing. Bukan merungut tidak berkesudahan atau berterusan mencari salah.

Kita biarlah Najib Razak terus merungut kerana kalau dia tidak merungut, dia akan jadi tidak relevan. Tetapi kita #JalanTerus supaya kita #MenangBersama.

 

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *