Sebelum Buka Parlimen, Pastikan Rakyat Divaksin Dahulu

SEMPORNA 22 Jun – Mengutamakan pemberian vaksin untuk rakyat ini dibuktikan apabila 2,000 penduduk berjaya didaftar serta menerima vaksin untuk dos pertama dalam tempoh lima hari.

Kejayaan itu dicapai dalam Program Outreach Vaksinasi menyantuni penduduk oleh ketua kampung , Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Semporna dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) di bawah Jabatan Ketua Menteri Sabah.

Kempen lima hari itu bermula awal Jun itu bagi kemudahan penduduk dari 65 buah kampung dengan pihak bertanggungjawab membuka pusat pendaftaran dan pusat pemberian vaksin yang dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan.

Program tersebut turut mendapat kerjasama Pegawai Daerah Semporna, Juraimin Jadil dan pemimpin UPPM DUN Bugaya, Abdul Hussin Kiamsin.

Ketua BERSATU Bahagian Semporna, Mohd. Daud Tompokong memberitahu, pihaknya terpanggil mengadakan program berkenaan apabila penduduk mengadu untuk mendapatkan vaksin segera.

Jelas beliau, masyarakat DUN Bugaya menghadapi masalah untuk mendaftar mendapatkan vaksin dan sehubungan itu pihaknya mengambil langkah turun padang membantu penduduk.

“Program lima hari itu dengan kerjasama UPPM, Pejabat Daerah, Kementerian Kesihatan menerima maklum balas memberangsangkan apabila 2,000 orang mendaftar.

“Dalam tempoh berkenaan, mereka terus mendapat vaksin untuk dos pertama. Akhir minggu ini dan awal Julai, penduduk berkenaan akan menerma vaksin untuk dos kedua,” katanya.

Mohd. Daud berkata, pihaknya juga menerima maklum balas penduduk DUN Bugaya yang mahukan kerajaan terus memberi tumpuan kepada membela rakyat terutama menyelesaikan pemberian vaksin.

Jelasnya, penduduk juga meminta kerajaan tidak terperangkap dengan desakan pembukaan Sidang Parlimen.

“Penduduk DUN Bugaya sangat berterima kasih kepada kerajaan atas pemberian vaksin selain itu mahu isu-isu rakyat seperti pekerjaan dan menjana ekonomi dapat itu diutamakan.

“Penduduk tidak berapa berminat atau teruja dengan pembukaan Sidang Parlimen kerana bagi mereka Persidangan Parlimen boleh diadakan bila-bila masa setelah isu pemberian vaksin dapat diselesaikan terlebih dahulu,” katanya.

Author: Sarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *