PTPTN sentiasa fleksibel, prihatin terhadap peminjam – Wan Saiful

CHANGLUN, 22 Julai — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sentiasa prihatin terhadap setiap peminjamnya dan bersedia untuk berunding jika mereka menghadapi kesukaran untuk membayar balik pinjaman kepada perbadanan itu.

Pengerusinya Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata peminjam seharusnya tidak perlu segan atau malu untuk berbincang dengan PTPTN, kerana pihaknya sentiasa terbuka dan fleksibel bagi memastikan mereka dapat melunaskan pinjaman mengikut kemampuan masing-masing.

“Tanpa penawaran moratorium pun, kalau peminjam hadapi kesukaran (untuk bayar balik) yang penting maklumkan kepada kita supaya kita boleh kemas kini rekod mereka dan berbincang jika boleh struktur semula pinjaman,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Ibadah Korban BERSATU Kubang Pasu di Sintok dekat sini hari ini.

Sementara itu katanya, setakat ini PTPTN sudah meluluskan lebih 26,000 permohonan untuk penangguhan bayaran balik pinjaman bagi tempoh tiga bulan, menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bulan lepas.

“Ada banyak lagi permohonan yang masih dalam proses kelulusan dan kita jangka jumlah ini akan bertambah lebih banyak,” katanya.

Menurut Wan Saiful, setakat ini keseluruhan jumlah peminjam PTPTN adalah sebanyak 3.5 juta dan daripada jumlah itu 1.6 juta peminjam sudah sepatutnya membuat bayaran balik pinjaman mereka.

Dalam pada itu katanya, pelan strategik PTPTN bagi memastikan perbadanan itu terus relevan seperti yang diumumkan pihaknya sebelum ini dijangka akan dilancarkan hujung bulan ini.

“Ada beberapa teras telah digariskan sebagai pelan utama untuk mengubah PTPTN ke arah lebih baik dan kita akan bagi penekanan kepada penggunaan teknologi terkini agar kita sentiasa kemas kini situasi peminjam.

“Antaranya kita akan permudahkan saluran bayar balik pinjaman agar lebih efisien dan nak kembalikan imej PTPTN sebagai tabung pendidikan, bukanlah sebagai badan peminjam semata-mata,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *