BERSATU Hulu Selangor lapor polis, gesa siasat dalang perhimpunan haram 21 Ogos ini

KUALA LUMPUR, 12 Ogos — BERSATU Hulu Selangor menggesa polis mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang merancang mengadakan perhimpunan jalanan pada 21 Ogos ini.

Ini susulan kenyataan media Sekretariat Solidariti Rakyat pada 7 Ogos lalu yang mengajak rakyat terutamanya anak muda untuk berdemonstrasi di jalanan sekiranya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak meletak jawatan dengan segera.

Ketua Bahagian BERSATU Hulu Selangor Mejar Bersekutu (PA) Md Anuar Mohd Nor berkata laporan polis telah dibuat agar polis menyiasat dalang di sebalik gerakan perhimpunan haram itu.

Beliau menyifatkan perhimpunan jalanan itu tidak sesuai dianjurkan di musim COVID-19 melanda negara.

“Laporan polis dibuat supaya pihak berkuasa menyiasat siapa yang menjadi dalang. Sebelum ini, sudah ada dua perhimpunan haram iaitu baju hitam dan semua wakil rakyat pembangkang.

“Kita tidak mahu perhimpunan ketiga ini nanti akan menjadi punca merebak jangkitan COVID-19 kepada orang lain,” katanya ketika dihubungi Wacana.my, memaklumkan laporan polis dibuat di Balai Polis Bukit Sentosa, Rawang pada Rabu.

Mengulas lanjut, Md Anuar berkata tindakan aktiviti ini dilihat seolah-olah mahu mengugut kerajaan atau pemimpin dengan cara turun demonstrasi ke jalanan.

Malah, beliau mempertikaikan gerakan untuk menjatuhkan Perdana Menteri tidak mengikut perundangan sedangkan umum diketahui keabsahan Muhyiddin melalui usul undi percaya akan dibentangkan pada Dewan Rakyat pada bulan depan.

“Mengapa nak nak jatuhkan Perdana Menteri tidak mengikut perundangan?

“Yang mereka nak desak awal ni mengapa?

“Klau ditekan dan meraung di tepi jalan nak menurunkan pemimpin, sampai bila kita nak dapat pemimpin yang betul-betul bagus?

“Kita tak nak aktiviti subversif macam ni, seperti mengugut kerajaan atau pemimpin dengan cara buat demonstrasi,” katanya.

Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri akan ditentukan di Parlimen yang akan bersidang pada September ini.

Muhyiddin berkata, beliau sudah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau akan menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri di Parlimen.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata perancangan aktiviti perhimpunan jalanan adalah tidak bertanggungjawab kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) serta Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *