Muhyiddin sedih dengan perkembangan politik negara

KUALA LUMPUR, 13 Ogos — Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui sedih dan berdukacita dengan perkembangan politik mutakhir ini.

Perdana Menteri berkata, sebagai seorang manusia, beliau tidak terhindar daripada kelemahan dan kekurangan.

“Apa lagi dalam keadaan sebagai Perdana Menteri yang memikul suatu tanggungjawab berat untuk mengurus pandemik luar biasa ini sejak lebih setahun lalu.

“Pastinya, saya memerlukan sokongan dan dokongan daripada rakan saya dalam Kabinet, pimpinan kerajaan negeri, pegawai kerajaan, ‘frontliners’ (petugas barisan hadapan) dan rakyat seluruhnya untuk membolehkan saya melaksanakan tanggungjawab membawa negara ini keluar daripada krisis,” katanya dalam perutusan khas, hari ini.

Pada masa sama, Muhyiddin turut mengakui kepentingan sokongan rakan Ahli Parlimen dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), selain keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri ditentukan oleh sokongan majoriti Ahli Parlimen.

“Namun, malangnya dalam keadaan saya dan rakan dalam Kabinet berhempas pulas mengurus pandemik, beberapa Ahli Parlimen menarik sokongan kepada saya.

“Ini menimbulkan keraguan mengenai keabsahan saya sebagai Perdana Menteri dan kedudukan Kerajaan PN sebagai kerajaan yang memerintah.

“Dalam keadaan ini, saya mempunyai dua pilihan menurut Perlembagaan Persekutuan. Saya boleh memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya atau meletak jawatan,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *