Malaysia sokong semakan semula FTA – Azmin

KUALA LUMPUR, 16 Sept — Malaysia menyokong penuh semakan semula perjanjian perdagangan bebas (FTA) ASEAN dengan negara luar bagi memastikan ia kekal relevan dan berdaya saing di peringkat global.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata sokongan itu disuarakan Malaysia melalui Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) secara maya yang berakhir semalam.

Mengulas lanjut Mohamed Azmin berkata, semakan semula FTA itu penting dalam meningkatkan kemudahan perdagangan, memperluaskan akses pasaran bagi barangan, perkhidmatan dan pelaburan serta meningkatkan hubungan perdagangan Malaysia dengan seluruh dunia.

“Bagi memastikan Malaysia terus mengamalkan ekonomi terbuka, dengan dasar perniagaan dan pragmatik yang menyokong iklim pelaburan di negara dari sudut Aspirasi Pelaburan Nasional, saya menyatakan sokongan kuat Malaysia terhadap proses semakan ini semula.

“Perbincangan mengenai proses menambahbaik FTA ASEAN Plus One dibincangkan dalam agenda wilayah persepaduan ekonomi,” katanya melalui kenyataan media, di sini hari ini.

Mesyuarat AEM bersama rakan dialog dan sidang kemuncak Asia Timur itu diadakan selama tiga hari sejak Isnin lalu dengan pembabitan negara rakan dialog seperti China, Korea, Switzerland, Amerika Syarikat (AS), Hong Kong, India, Kesatuan Eropah (EU), Australia, Jepun, New Zealand, Jepun dan United Kingdom.

Tema perbincangan kali ini ialah usaha bagi pertumbuhan semula ekonomi daripada pandemik COVID-19, dengan kerjasama global berterusan, akses pengedaran vaksin yang selamat dan saksama.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, barisan menteri turut menekankan berhubung keperluan bagi memastikan FTA ASEAN-Australia-New Zealand kekal bercita-cita tinggi dengan berteraskan perjanjian moden.

Katanya, AEM juga bersetuju melaksanakan Kajian Kebolehlaksanaan Bersama untuk mengkaji Peningkatan Protokol FTA ASEANChina selain menyambut baik nota konsep untuk kajian bersama dalam meningkatkan FTA ASEAN-Korea.

“Bagi kajian Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA), menteri ASEAN dan India bersetuju untuk berusaha sedaya upaya dalam skop perbincangan untuk ia dimuktamadkan secepat mungkin.

“Malaysia yang bertindak sebagai negara penyelaras untuk dialog ekonomi ASEAN-India, akan mengetuai sesi rundingan AITIGA,” katanya.

Beliau berkata, AEM turut mengalu-alukan pembabitan Pesuruhjaya Perdagangan EU dalam rundingan selain menyambut baik pembabitan rakan dialog baharu, United Kingdom dalam kerjasama melalui Program Pembaharuan ASEAN-UK dan gabungan deklarasi menteri mengenai kerjasama ekonomi masa depan ASEAN-UK.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, pihaknya turut menekankan kepentingan untuk mengecilkan jurang digital antara Perusahaan Kecil dan Sederhanan (PKS) di rantau ini.

“Barisan menteri dan rakan dialog turut bersetuju bagi membantu PKS dalam aspek akses digital dan pembiayaan untuk menyuntik daya tahan ekonomi dalam kalangan perniagaan di rantau ini,” katanya.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *