Tujuh penduduk di Kota Melaka gembira menang pertandingan kibar Jalur Gemilang

KOTA MELAKA, 16 Sept — Kreativiti dicetuskan bagi menghias dekorasi Jalur Gemilang di kediaman Taman Pandan Indah Fasa 1 membolehkan tujuh penduduk di sini gembira apabila menang dalam Pertandingan Jom Kibar Jalur Gemilang sempena Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2021.

Pertandingan yang dianjurkan Persatuan Penduduk Pandan Indah Fasa 1 dengan kerjasama BERSATU Kota Melaka mendapat sambutan menggalakkan di kalangan penduduk yang menggunakan kreativiti menghias bendera Malaysia di rumah masing-masing.

Ketua Bahagian BERSATU Kota Melaka, Datuk Hishamudddin Abdul Karim berkata pihaknya menyambut baik usaha persatuan penduduk taman itu menganjurkan pertandingan berkenaan sempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia.

“Program ini dapat membangkitkan semangat patriotik walaupun dalam keadaan kita masih menghadapi kekangan akibat COVID-19.

“Walaupun dalam keadaan sederhana, namun semangat ditunjukkan masyarakat setempat sempena Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia ini begitu membanggakan.

“Apabila melihat banyak bendera di kawasan rumah, ia dapat membangkitkan semangat patriotik, malah penduduk menyokong program ini kerana mereka mempunyai aktiviti bermanfaat selepas sekian lama tidak keluar kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian hadiah kepada tujuh pemenang yang dipilih berdasarkan kreativiti gubahan dan hiasan pemasangan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing, hari ini.

Ketujuh-tujuh pemenang terbabit menerima hadiah wang tunai dari RM25 hingga RM100, termasuk sumbangan Bakul Prihatin iaitu keperluan makanan asas seperti beras, maggi, bihun dan tepung.

Sumbangan Bakul Prihatin itu disumbangkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Author: editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *