Bersatu berdiri teguh bersama Muhyiddin

KANGAR : Tindakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tumbang disifatkan sebagai tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan berkata, Anwar juga sudah melupakan kepentingan rakyat apabila cuba mewujudkan ketegangan di dalam politik negara.

Katanya, semua sedia maklum Yang di-Pertuan Agong sedang menerima rawatan di IJN selain negara sedang berhadapan cabaran ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Sekarang adalah masa yang amat tidak sesuai untuk mewujudkan apa-apa masalah politik dalam negara. Tindakan sebegini menunjukkan pihak pembangkang yang diketuai Anwar bukan sahaja tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong malah tidak menghiraukan kesusahan rakyat dan kehendak rakyat yang mahukan kestabilan.

“Ironisnya, ketika Perdana Menteri mengumumkan bagaimana mahu membantu rakyat hari yang sama juga dipilih Anwar untuk menggugat kestabilan negara,” katanya di sini hari ini.

Anwar sebelum ini dalam satu sidang media mendakwa beliau menerima mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu.

Jelas Ahli Parlimen Port Dickson dalam sidang media itu, kerajaan baharu itu adalah gabungan ahli Parlimen daripada pelbagai parti, namun tidak menyebut berapakah jumlah majoriti yang diperolehi.

Menurut Anwar, rakyat Malaysia berhak mendapat kerajaan yang kukuh dengan kepimpinan cekap dan yakin untuk mengurus ekonomi dengan kebijaksanaan dan tuntas.

Tambah Wan Saiful, seluruh Ahli Parlimen dan jentera Bersatu dari semua peringkat memegang tekad untuk bersama-sama 

Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi fokus kepada usaha memulihkan ekonomi dan membantu rakyat.

“Saya menyeru semua pihak menolak mana-mana ahli politik yang sengaja mahu menjejaskan kestabilan politik dan mensabotaj usaha pemulihan ekonomi negara demi kepentingan peribadi,” katanya.

–UTUSAN

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *