Bersatu tidak lari perjuangan asal – Hamzah

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menolak dakwaan mana-mana pihak yang mengatakan kononnya parti itu tersasar daripada perjuangan asal berikutan pembukaan keahliannya kepada golongan bukan bumiputera.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, langkah itu bukan perkara baharu kerana termaktub dalam perlembagaan sejak awal penubuhan parti tersebut.

“Berhubung penyertaan ahli baharu dalam kalangan bukan bumiputera, Perlembagaan Bersatu sedia ada telah pun memperincikan perihal berkaitan Ahli Bersekutu seperti dalam Fasal 7 (Keahlian), Fasal 8 (Pendaftaran Keahlian) dan Fasal 9 (Tanggungjawab dan Hak Ahli).

“Kenyataan daripada beberapa pihak yang mendakwa Bersatu telah lari daripada matlamat asal dengan membuka keahlian kepada bukan bumiputera adalah tidak tepat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, tindakan Bersatu menawarkan keahlian bersekutu kepada bukan bumiputera disifatkan sebagai langkah diskriminasi sekaligus langkah itu dikecam banyak pihak.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan sebelum ini bagaimanapun dilaporkan berkata, UMNO dan Pas sendiri telah membuka keahlian untuk orang bukan Melayu dan bukan Islam.
Menurut Hamzah, Majlis Pimpinan Bersatu sedang mengkaji cadangan menubuhkan Badan Ahli Bersekutu yang membolehkan mereka memainkan peranan lebih bermakna di dalam parti.

“Sebagai sebuah parti politik yang berpandangan jauh dan inklusif, Bersatu mengiktiraf sumbangan serta peranan Ahli Bersekutu dan akan terus memperkasakan penglibatan dalam kalangan mereka dari semasa ke semasa,” katanya.

–UTUSAN

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *