Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuh – daging haram

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju dan menyokong penuh penuh cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu penyeludupan daging yang menyalahgunakan logo halal.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, kerajaan memandang serius isu kartel daging haram yang menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

Malah menurut beliau, satu Jawatankuasa Perundangan Khas Halal juga telah ditubuhkan.

“Saya amat berterima kasih kepada ahli-ahli Yang Berhormat yang mencadangkan untuk menubuhkan RCI. Kita menyokong penubuhan tersebut kerana dapat mendedahkan siapa sahaja yang bertanggungjawab kepada permasalahan ummah hari ini.

“Ada yang mengatakan kita cuba melindungi seseorang atau VIP. Pada kita, kerajaan telus dan prihatin. (Mereka) yang salah tetap akan salah, yang benar tetap benar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul berkait isu kartel daging haram di Dewan Negara pada Selasa.

Rosol berkata, setakat ini, sebanyak 53 negara dibenarkan mengimport daging beku ke negara ini termasuk dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau turut mengesahkan bahawa tiada daging kuda, kanggaru atau khinzir ditemui susulan rampasan di sebuah gudang di Senai, pada awal Disember lalu.

Ujar beliau, perkara itu hasil laporan pensampelan yang dilakukan oleh Jabatan Kimia.

“Terima kasih kepada Jabatan Kimia yang telah mempercepatkan proses ini kerana kalau ikut proses sebenarnya ia mengambil masa hampir sebulan tetapi (dipercepatkan) oleh kerana ia perlu dan melibatkan keresahan rakyat.

“Apa yang dimaklumkan kepada kita bahawa (kononnya) ada daging kanggaru, kuda daripada apa yang disita tersebut.

“Kita tidak pilih-pilih, kita hantar semua sekali kepada Jabatan Kimia dan (Jabatan Kimia) telah beri laporan kepada kita bahawa tidak ada daging kanggaru, tidak ada daging kuda dan tidak ada daging babi daripada apa yang kita sita,” katanya.

Terdahulu, Ahli Dewan Negara, Senator Asmak Husin mengemukakan usul mengikut Perkara 17 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara berhubung isu daging kartel haram yang menggunakan logo Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) secara salah dan berniat menipu.

Menerusi usul tersebut, Asmak berpandangan isu tersebut melibatkan kepentingan orang ramai; melibatkan nama baik kerajaan khususnya Jakim; dan ia perlu disegerakan kerana rakyat semakin marah dan khuatir dengan kes itu.

Sementara itu, Senator Sabani Mat dan Senator Muhammad Zahid Md Arip menyokong usul tersebut dan memohon kerajaan untuk mempertimbangkan penubuhan RCI.

Antara yang turut terlibat dengan perbahasan usul tersebut adalah Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusof, Senator Datuk Razali Idris, Senator Waytha Moorthy, Senator Datuk A Kesavadas dan Senator Idris Ahmad.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *