Muhyiddin Umum Pakej Bantuan PERMAI RM15 Bilion

Oleh Serayu Suria

KUALA LUMPUT 18 Jan. — Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini terus menunjukkan komitmen beliau dalam mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Ini terbukti dengan pengumuman sebuah pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan
Rakyat Malaysia, atau PERMAI yang bernilai RM15 bilion.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menjelaskan
pakej bantuan PERMAI akan menambah baik inisiatif sedia ada yang masih berterusan dan juga mempercepatkan pelaksanaan inisiatif yang berkaitan.

“Sebanyak 22 inisiatif akan dilaksanakan di bawah PERMAI yang berteraskan kepada tiga matlamat
utama iaitu; Memerangi Wabak COVID-19;
kedua: Memelihara Kebajikan Rakyat; dan ketiga; Menyokong Kelangsungan Perniagaan,” katanya ketika menyampaikan ucapan Pakej Bantuan Khas yang disiarkan secara langsung  melalui stesen televisyen utama sebentar tadi.

Bagi tujuan memerangi wabak COVID-19,
Muhyiddin berkata, kerajaan telah menyediakan dana tambahan sebanyak RM1 bilion termasuk hampir RM800 juta kepada Kementerian Kesihatan, dan selebihnya kepada Majlis Keselamatan Negara dan juga agensi-agensi lain yang terlibat.

Muhyiddin turut mengumumkan kerajaan akan mempercepatkan bayaran bantuan prihatin rakyat atau BPN2.0 bermula 21 Januari melibatkan 11.1 juta penerima yang bakal menerima bayaran sebanyak RM2.38 billion.

Dalam ucapannya, Muhyiddin turut mengumumkan lanjutan untuk beberapa inisiatif yang telah diumumkan sebelum ini iaitu lanjutan tempoh capaian Internet percuma, pelepasan cukai khas sehingga RM2,500  ke atas pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet, tempoh pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang dan tempoh moratorium bagi peminjam PTPTN.

Turut dilanjutkan adalah bantuan moratorium pinjaman bank atau pengurangan bayaran balik pinjaman yang akan diteruskan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagi membantu sektor perniagaan, Muhyiddin berkata, kerajaan telah bersetuju untuk menambahbaik Program Subsidi Upah 3.0 di bawah Perkeso.

“Semua majikan yang beroperasi dalam PKP layak untuk memohon, tanpa mengambil kira sektor. Untuk tempoh satu bulan, majikan yang layak akan menerima subsidi upah berjumlah RM600 bagi setiap pekerja mereka yang bergaji kurang dari RM4,000 ,” katanya.

Selain itu, had 200 pekerja bagi setiap permohonan juga akan ditingkatkan kepada 500 orang pekerja.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *