Jangan Ada Pihak Melangkaui Jawatankuasa Khas Bebas Darurat – Wan Saiful

Oleh Serayu Suria

KUALA LUMPUR 9 Feb. – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Wan Saiful Wan Jan tidak mahu mana-mana pihak membuat andaian berpandukan nafsu politik berkaitan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021.

Menurut Wan Saiful, tidak ada sesiapa yang boleh mempersoalkan kredibiliti ahli jawatankuasa yang diumumkan hari ini.

“Dari 19 oleh ahli jawatankuasa yang diumumkan hanya sebahagian kecil sahaja Ahli Parlimen kerajaan manakala majoritinya adalah tokoh profesional,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Wan Saiful, beliau berharap tidak ada pihak yang membuat sebarang spekulasi atau provokasi sebelum mendapat pembentangan data dan maklumat yang sah.

“Saya yakin Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang diumumkan hari ini akan dapat membuat pertimbangan terbaik untuk menentukan sama ada darurat perlu diteruskan atau boleh ditamatkan lebih awal,” katanya.

Wan Saiful juga menyifatkan ahli jawatankuasa yang diumumkan adalah mereka yang berkaliber dan berintegriti.

“Pembentukan jawatankuasa ini melambangkan betapa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serius dalam memastikan nasihat yang diberi kepada Yang di-Pertuan Agong adalah tepat dan dipandu oleh data,” katanya.

Tambahnya, beliau berharap wakil-wakil pembangkang dalam jawatankuasa ini akan turut bersikap profesional.

“Pada 21 Januari lalu, pembangkang sudah awal-awal lagi mengatakan bahawa walaupun mereka menghantar wakil ke dalam jawatankuasa, mereka kekal dengan pandangan mahu darurat ditamatkan, semoga dengan pengumuman ini wakil-wakil pembangkang akan menjadi lebih profesional,” katanya.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *