Persidangan Parlimen ketika darurat: Boleh atau tidak?

wacana.my (Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz)

PENGISYTIHARAN darurat oleh Yang di-Pertuan Agong pada 11 Januari 2021 telah mendatangkan pelbagai pengalaman bagi Malaysia. Pelbagai perkara baharu berkaitan sistem dan urusan pentadbiran negara muncul dalam pelbagai dimensi. Apatah lagi darurat atas sebab pandemik COVID-19 ini diisytiharkan dalam keadaan situasi politik mempunyai beraneka ragam.

Kita juga tahu keadaan politik semasa proklamasi darurat ini dibuat, yang mana kerajaan mempunyai sokongan majoriti tipis bagi kelulusan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 pada 15 Disember 2020. Ketika itu, 111 ahli Parlimen menyokong manakala 108 ahli menolak dan seorang tidak hadir. Walaupun jumlah sokongan kepercayaan itu tipis, bukti kewujudan sokongan majoriti itu masih lagi ada. Walau apapun, masih terdapat pandangan menyatakan kerajaan telah hilang kepercayaan majoriti setelah beberapa ahli Parlimen menyatakan tidak menyokong Perdana Menteri melalui media.

Sementara itu, seperti  laporan media dan tersebar melalui media sosial, terdapat usul undi tidak percaya telah diserahkan kepada Dewan Rakyat. Keadaan ini mewujudkan naratif bahawa proklamasi darurat pada 11 Januari itu turut mempunyai tujuan politik.

Walau apapun hujah dikemukakan, Warta Kerajaan Persekutuan terbitan 12 Januari 2021 menyatakan pada perenggan pertama: “Bahawasanyan beta berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, kehidupan, ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan adalah diancam berikutan wabak penyakit berjangkit, iaitu Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19).” Pembuka kepada Warta Proklamasi Darurat ini dengan tegas menjelaskan mengenai sebab proklamasi darurat dibuat iaitu bagi tujuan memerangi COVID-19.

Walaupun begitu jelas sekali tujuan proklamasi darurat ini dibuat, masih lagi ada segelintir masyarakat mempersoalkannya. Justeru, terdapat naratif ketika ini berkaitan persidangan Parlimen di mana terdapat desakan supaya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri terus bersidang.

Persoalan undang-undang ialah adakah Parlimen boleh bersidang atau wajib bersidang dalam keadaan darurat? Jawapan saya ialah ya. Parlimen boleh bersidang. Ini kerana Perkara 150 (3) memberi indikasi yang membolehkan Parlimen bersidang. Fasal (3) menyatakan: “Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen dan, jika tidak terlebih dahulu dibatalkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis yang mengungkaikan Proklamasi atau ordinan itu…”.

Persoalan seterusnya, adakah Parlimen boleh ditangguhkan atau digantung ketika proklamasi darurat atau dalam keadaan darurat? Jawapannya juga, ya. Ini kerana Perkara 150 (2B) menyatakan: “Jika pada bila-bila masa semasa suatu Proklamasi Darurat sedang berkuat kuasa, kecuali apabila kedua-dua Majlis Parlimen sedang bersidang serentak, Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa ada hal-hal keadaan tertentu yang menyebabkan perlu baginya mengambil tindakan serta-merta, maka Yang di-Pertuan Agong boleh memasyhurkan apa-apa ordinan sebagaimana yang didapatinya perlu mengikut hal keadaan.”.

Fasal (2B) ini memberi gambaran, Yang di-Pertuan Agong melalui pewartaan sebuah Ordinan, boleh mewartakan sesuatu yang pada hemat baginda adalah perlu bagi tujuan proklamasi darurat. Justeru, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 telah diwartakan pada 14 Januari 2021 dengan memperuntukkan pada Seksyen 14 dan 15. Seksyen 14 menyatakan peruntukan Perlembagaan Persekutuan (iaitu Perkara 55) yang berkaitan dengan memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen adalah tidak mempunyai kesan sehingga suatu tartikh yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, Seksyen 15 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021  memperuntukkan supaya peruntukan dalam Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan serta peruntukan Perlembagaan negeri atau undang-undang berhubungan dengan memanggil, memprorog dan membubarkan Dewan Undangan Negeri adalah tidak mempunyai kesan, dan Dewan Undangan Negeri hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong.

Dengan adanya peruntukan yang jelas dalam Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 ini maka jelas bahawa Parlimen dan Dewan Undangan Negeri boleh ditangguhkan persidangannya.

Seterusnya, masih terdapat persoalan yang berlegar di kalangan masyarakat mengenai hal ini walaupun undang-undang (Perlembagaan Persekutuan dan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021) membolehkan penangguhan persidangan kedua-dua badan Perundangan (Parlimen – Dewan Rakyat dan Dewan Negara, serta Dewan Undangan Negeri). Isu yang dibawa dalam persoalan ini ialah, adakah penangguhan persidangan Badan Perundangan ini relevan atau berkaitan dengan tujuan proklamasi darurat?

Bagi menjawab persoalan ini, sekiranya dilihat kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 150(8) menyatakan seperti berikut:

Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini –

(a) hal puas hati Yang di-Pertuan Agong yang disebut dalam Fasal (1) dan Fasal (2B) adalah muktamad dan konklusif dan tidaklah boleh dicabar atau dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan; dan

(b) tiada mahkamah boleh mempunyai bidang kuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan, soal atau prosiding, dalam apa-apa jua bentuk, atas apa-apa alasan, mengenai kesahan –

(i) sesuatu Proklamasi di bawah Fasal (1) atau sesuatu perisytiharan yang dibuat dalam Proklamasi itu yang bermaksud seperti yang dinyatakan dalam Fasal (1);

(ii) kuat kuasa berterusan Proklamasi itu;

(iii) mana-mana ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B); atau

(iv)  penerusan kuat kuasa mana-mana ordinan itu

Fasal (8) Perkara 150 ini bermaksud menjadikan keputusan Yang di-Pertuan Agong berkenaan proklamasi darurat dan Ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong bagi tujuan darurat tidak boleh konklusif dan tidak boleh dicabar atau dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah. Justeru, Fasal (8) ini juga menafikan bidang kuasa mana-mana mahkamah untuk mendengar atau memutuskan apa-apa permohonan yang dibuat bagi menentukan kesahan mana-mana Ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) yang telah dipetik di atas.

Walau apapun, masyarakat mungkin tidak mengabaikan rasional di sebalik penanggughan atau penggantungan persidangan Badan Perundangan pada peringkat Persekutuan dan negeri ini. Masyarakat tidak dapat mencari rasional pada ketetapan warta yang menagguhkan persidangan tersebut. Mungkin rasional yang dapat saya kongsikan ialah, supaya tidak lagi berlaku pergeseran, percakaran politik sehingga menjatuhkan sesebuah kerajaan, Persekutuan atau negeri. Sehingga sesebuah kerajaan itu jatuh, maka ia memberi kesan ke atas kelancaran pentadbiran kerajaan yang seterusnya akan menyebabkan ketidakcekapan pentadbiran. Saya menyatakan rasional ini sebagai ‘mungkin’ kerana ketetapan kepada penggantungan atau penangguhan Badan Perundangan ini tidak disebut atau tidak dihuraikan dalam Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) tersebut.

Rasional seterusnya ialah bagi mempercepatkan urusan kerajaan membuat tindakan wajar bagi menangani hal berkaitan pandemik, seperti pindaan undang-undang berkaitan, contohnya seperti dinyatakan YAB Perdana Menteri ketika membuat perutusan yang mengandungi penjelasan terkini mengenai pelaksanaan Proklamasi Darurat pada 4 Februari 2021. Antara lain, Akta yang dipinda bagi tujuan darurat ialah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] dan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446].

Sebagai rumusan, pastinya apabila Parlimen tidak bersidang, seluruh Malaysia mengharapkan kerajaan tetap menegakkan kedaulatan undang-undang. Apa yang penting ialah tujuan proklamasi darurat itu dicapai iaitu pandemik ini perlu dilandaikan grafnya dan pada masa sama, kebajikan rakyat adalah terjamin. Moga pancuran keadilan daripada hasil pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dapat dirasai oleh hamba rakyat di seluruh pelusuk negara.

Penulis ialah Penyandang Kursi, Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, UiTM.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *