Tanpa Sokongan BERSATU, Pas, Mungkin Tidak Dapat Bentuk Kerajaan Perak Yang Ada Sekarang
Saya terpanggil untuk memberi maklum balas kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad bertajuk `UMNO Perak Tak Kompromi’.
Jelas di sini pengambilalihan pentadbiran negeri berdasarkan motif politik tertentu, setelah berkuasa ada cubaan untuk mengorak langkah yang dikira perlu demi mengekalkan kuasa.
Malangnya mereka tidak belajar dari sejarah lalu. Ketamakan kuasa segilintir pemimpin tertentu masih terserlah.
Kita sepatutnya harus kekal fokus membantu rakyat di kala pandemik ini. Sekarang bukan waktunya untuk permainan politik.
Saya faham kegusaran dihadapi pemimpin UMNO. Ada yang sudah mula bercita-cita atau berkira-kira kerusi yang bakal ditandingi dalam PRU-15.
Jelas sekali bahawa bekerjasama dengan mana-mana pihak akan menyebabkan kekurangan kerusi dalam kalangan pemimpin UMNO sendiri.
Agihan kerusi perlu dibuat atas setiakawan dan juga perlu ada pengorbanan demi kejayaan sebuah perikatan.
Apakah pemimpin UMNO Perak menolak penyatuan Melayu dan menafikan peranan BERSATU di Perak?
Oleh itu UMNO perlu menghormati rakan sekutu dalam kerajaan demi perjuangan serta kemenangan dalam PRU-15.
Harus diingat bahawa tanpa BERSATU dan Pas, mungkin UMNO tidak dapat membentuk kerjaaan negeri Perak yang ada sekarang.
DATO’ DR. ZULKIFLI ABDUL AZIZ
Setiausaha Penerangan BERSATU Negeri Perak